11/08/2026
SYABU RM550,000.00 DIRAMPAS, KECEWA LAGI KARTEL...
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah merampas 11.06 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, awal pagi Isnin.
Komander PPM W4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menghampirinya.
“Ketika cuba dihampiri, seorang lelaki yang berada di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek dijalankan namun gagal menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan itu kemudian menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06 kilogram.
"Nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk bot bernilai lebih RM578,000.
"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.
Dalam pada itu, bagi tahun 2026, PPM W4 Sabah merekodkan 15 kes di bawah akta sama membabitkan 24 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan melebihi RM718,000.
LINK BERITA DIKOMEN