
02/11/2024
KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Pulau Penampang menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada mereka.
Wakil Penduduk, Spanis Gadua, 62 berkata, kerajaan sentiasa memberikan pelbagai bantuan kepada penduduk kampung ketika menghadapi masalah.
"Berkaitan dengan surat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tular di media sosial berkaitan pungutan RM100 daripada setiap keluarga untuk pembaikan jalan raya.
"Sebenarnya, ini tidak melibatkan penduduk kampung keseluruhannya, ia hanya melibatkan lebih kurang 25 buah rumah saja.
"Ini adalah inisiatif kita sendiri, secara sukarela untuk menaik taraf jalan raya hanya di Jalan KK Philippus Saradan dengan sejauh 70 meter sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu akan dilakukan secara gotong-royong pada Sabtu ini.
Sementara itu, Ketua Kampung Kg. Pulau Penampang, Yuspensus Philippus, 42, berkata, tidak dinafikan mungkin surat itu ditularkan oleh penduduk yang tidak mahu memberikan sumbangan berkenaan.
"Tetapi tidak apa, ini bukan kita paksa, kita buat secara sukarela, yang penting turun bersama-sama untuk simen jalan raya berkenaan.
"Sebelum ini, kerajaan juga telah bantu menaik taraf jalan dalam kampung ini, membuat tembok selepas kejadian tanah runtuh dan banyak lagi.
"Kita berbuat demikian kerana mahu cepat, dan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung juga," katanya.
Sumber : Utusan Borneo/Yap Siong Han