
12/09/2025
Kota Kinabalu: Dua pelajar berusia 16 tahun diarah membersihkan tompokan darah di lokasi tempat Zara Qairina Mahathir diletakkan selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan, Linah Mansoding, 65 memberitahu mahkamah, warden utama dikenali sebagai Ustaz Azhari, dipercayai mengarahkan dua pelajar terbabit membersihkan kawasan itu selepas Zara Qairina dibawa menaiki ambulans.
"Ada darah keluar dari kaki Zara. Mereka membersihkan kawasan tempat Zara dialihkan selepas ambulans beredar.
"Seorang pengawal keselamatan lelaki turut membantu dengan menyalakan lampu suluh untuk mereka.
"Bagaimanapun, kesan darah itu yang sudah menjadi hitam masih boleh dilihat sehingga sekarang," katanya.
Beliau berkata, demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, sebagai saksi keenam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu di Mahkamah Koroner, hari ini.
Linah berkata, tompokan darah di lokasi asal Zara Qairina ditemukan berhampiran longkang akhirnya hilang akibat hujan lebat.
Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah ada melihat dua pelajar, seorang rakan sekelas dan Ustaz Azhari memindahkan Zara Qairina.
Ketika itu, katanya, Zara Qairina tidak memakai tudung, sebahagian bahagian atas tubuhnya terbuka dan tidak terdapat selipar atau kasut berdekatan.
Linah turut melihat darah mengalir dari tengkuk dan kaki kiri mangsa dengan tulang terkeluar dari kakinya.
Katanya, kejadian itu disaksikan dari lokasi pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan hingga kawasan hadapan rumah seorang lagi warden berhampiran pintu keluar sekolah.
Saksi itu turut meniru bunyi mencungap untuk menggambarkan reaksi Zara Qairina ketika cuba dikejutkan sementara menunggu ambulans yang hanya tiba selepas sejam.
Peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, bertanya mengapa pelajar itu dialihkan.
"Saya tidak pasti, tetapi mereka kata kasihan padanya (Zara Qairina)," jawabnya sambil menambah kawasan tempat Zara ditemui itu sudah dua bulan bergelap tanpa lampu.
Beliau mengakui Ustaz Azhari pernah memintanya memadam gambar yang diambil ketika pertama kali Zara Qairina ditemukan.
"Beliau minta saya padam kerana bimbang ia akan tersebar jika pelajar lain meminjam telefon saya," katanya.
Gambar berkenaan sudah dikemukakan sebagai satu daripada bahan bukti dalam prosiding inkues yang berlangsung selama 17 hari.
-Metro