26/09/2022
Memaknakan Basmalah
Basmalah (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang) ialah ayat pertama surah al-Fatihah.
Ayat ini juga menjadi pembuka kepada mushaf. Andai keseluruhan al-Quran terhimpun pada al-Fatihah, maka keseluruhan al-Fatihah terhimpun pada basmalah.
Menurut Sheikh Dr Solah al-Khalidi rh:
Basmalah menggariskan asas yang membina akidah seorang Muslim, iaitu manusia ialah makhluk yang lemah walau bagaimanapun dia memiliki kekuatan.
Maka sebab itu manusia perlu sentiasa kembali kepada Yang Maha Berkuasa iaitu Allah SWT.
Apabila kita mengucapkan bismillah (dengan nama Allah SWT), huruf ب itu adalah dengan maksud isti'anah iaitu memohon bantuan.
Bermakna kita dengan sepenuh hati mengakui kelemahan diri, kefakiran, rasa tidak berdaya dan memerlukan bantuan.
Kita sentiasa memerlukan Allah SWT.
Maka sebab itu kita memohon hanya daripada-Nya bantuan.
Akidah Islam terbina atas dua unsur:
1) Allah: Tuhan yang disembah, yang Maha Sempurna, Maha Kaya dan Maha Agung.
2) Hamba: makhluk iaitu semua selain Allah SWT yang sentiasa memerlukan-Nya.
Ini terkandung pada basmalah.
Seorang Mukmin apabila mengucapkan basmalah ketika solat atau di luar solat, maka dia perlu menghadirkan makna ini:
Ya Allah, aku lemah, kuatkanlah aku.
Ya Allah, aku tidak memiliki apa-apa kekuatan pun melainkan dengan bantuan-Mu.
Betapa kita memerlukan bantuan Allah SWT pada setiap detik kehidupan.
Kata seorang penyair:
إذا لم يكن عون الله للفتى ... فأول ما يجني عليه اجتهاده
"Jika bantuan Allah tidak bersama seseorang ... maka perkara pertama yang akan mengagalkannya ialah usahanya"
Bermaksud, jika Allah SWT tidak memberikan taufiq dan bantuan kepada seseorang, maka usahanya sendiri menjadi gagal.
Tanpa bantuan Allah SWT, segala kebijaksanaan dan usaha akan terhimpun dan "berkonspirasi" menjadi punca kepada kegagalan diri kita.
Maka sebab itu, antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW pada setiap pagi dan petang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ!
Wahai yang Maha Hidup dan Maha Berdiri! Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan.
أَصْلِحْ لِي شَأْنِيَ كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Perbaikilah urusanku seluruhnya, dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau hanya sekelip mata.
- HR al-Hakim.
Kita tidak ingin Allah SWT meninggalkan kita walau hanya sekelip mata.
Andai Allah SWT mengabaikan kita walaupun hanya seketika, hancur dan binasalah diri kita.
Segala kejayaan, kebahagian, kelapangan hidup kita bergantung kepada hubungan kita dengan Allah SWT.
Maka sebab itu basmalah memperingatkan kita tentang makna yang sangat agung ini.
Allah SWT dengan sifat Maha Bijaksana memilih ayat ini sebagai permulaan kitab-Nya.
Dia juga memilih surah al-Fatihah yang dimulakan dengan basmalah ini diulang baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari.
Supaya kita sentiasa membawa makna ini dalam setiap detik kehidupan.
Seterusnya kalimah Allah SWT pada basmalah digandingkan dengan al-Rahman dan al-Rahim.
Kalimah Allah SWT memenuhkan hati kita dengan rasa gerun dan takut.
Manakala al-Rahman dan al-Rahim menjadikan kita berharap dengan rahmat-Nya.
Terhimpun rasa takut dan harap pada lafaz ini.
Kita memohon bantuan Allah SWT dengan rasa takut dan harapan kepada-Nya.
Andai kita menghayati makna ini, kita akan semakin menghargai basmalah.
Bahawa basmalah ialah asas bagi kehidupan kita.
Rujukan:
1) Quran al-Fajr, Sheikh Dr Solah al-Khalidi.
2) FainniQarib, m/s 4.
Berminat?
Jika berminat, boleh dapatkan melalui saya:
Klik untuk pembelian ⤵️
https://wa.me/601136654765
https://wa.me/60149315651