05/12/2022
Belum sempat kerusi Perdana Menteri panas, sudah mula operasi menjatuhkan kerajaan hari ini. Segala nama dan konsep keji digunakan, semata-mata bagi menafikan keabsahan pentadbiran baru ini.
Mungkin kerana sudah terbiasa melakukan usaha begitu, pihak pembangkang hari ini cenderung untuk merampas kuasa daripada menjadi kuasa semak imbang.
Ini tidak wajar kerana kita di ambang tahun yang mencabar. Penganalisis rata-rata menjangkakan bahawa 2023 akan membawa kegawatan ekonomi global, akibat pelbagai faktor berbeza.
Peperangan Rusia-Ukraine yang sudah hampir setahun akan terus menjadi salah satu punca ketegangan global dan kenaikan inflasi tenaga dan bahan api, manakala negara Cina mula berhadapan dengan rakyat mereka yang semakin tidak puas hati kerana polisi sifar covid yang telah melembabkan ekonomi dan mengasingkan mereka dari dunia luar selama hampir tiga tahun.
Inilah yang menjadi latar kemunculan kerajaan baru ini, dan sebab kestabilan dan pengurangan suhu politik diperlukan.
Tanggungjawab ini bukan di atas kerajaan semata-mata, warga dan masyarakat sivil juga perlu memainkan peranan untuk memberi saranan dan sokongan terhadap dasar-dasar yang positif, mendidik masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat berniat jahat, dan semak dan imbang semestinya.
PRU merupakan satu batu penanda dalam perjalanan demokrasi, bukannya garis penamat.