11/06/2026
UMNO menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perkara itu disampaikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam Rabu.
Menurut beliau, pendirian tersebut kekal konsisten sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.
“Ini merupakan pendirian daripada awal dan kita konsisten sehingga hari ini,” kata Asyraf dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Mengulas isu politik semasa, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri Johor telah dibentuk lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat Persekutuan.
“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan hakikatnya tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politik menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, usaha mempertahankan mandat kerajaan negeri tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam masa sama, UMNO kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, Asyraf menegaskan sebarang kerjasama politik perlu berasaskan keikhlasan serta kepercayaan antara semua pihak.
“Apa jua bentuk kerjasama mestilah dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” tegasnya.