07/01/2023
Kompilasi SATU
Diari Cinta Pertama
Teaser 1 ❤️
“Daus… Ini Aisya, sayang.” Suara lembut Noraini kedengaran lembut. Serak dek terlalu kuat menjerit tadinya. Dia menyelak kain batik yang hampir menutup muka bayi dalam dakapan.
Melihat itu, Firdaus terus terpana. Tidak berkedip mata menatap muka kecil Aisya. Tidak pernah sekalipun dia melihat manusia sekecil ini. Aneh rupanya. Matanya tidak terbuka, hidungnya kecil. Mulutnya juga kecil. Jemarinya pula…
Tidak sedar Firdaus sudah pun angkat tangan, cuba menyentuh jemari Aisya yang bergerak-gerak di udara.
“Dulu, tangan dan jari Daus pun kecil macam ini,” celah Zubaidah menyedarkan Firdaus, sekali gus mematikan gerak budak lelaki itu.
Firdaus cuma tersenyum kekok. Liur ditelan kesat kerana tekaknya terasa haus. Tapi tidak lama, lembut saja Noraini meraih tangan Firdaus dan membiarkan tangan itu menyentuh jemari halus Aisya.
Firdaus sedikit kaget. Kaget kerana dinginnya kulit Aisya. Aneh. Dia tidak tahu apa yang dia rasa tapi pertama kali seumur hidup perasaan ini muncul.
“Aisya cantik kan, Daus?” Noraini menitiskan air mata bahagia meski suami tiada di sisi di hari bersejarah ini.
Firdaus angkat muka. Mencebik sedih melihat air mata Noraini. “Kenapa ibu menangis? Ibu sakit?”
“Tak, sayang. Ibu menangis sebab ibu gembira. Ibu gembira Daus ada dengan Aisya sekarang. Pengganti baba Aisya.”
Firdaus diam. Dia kembali tunduk menatap wajah kecil Aisya. Mulut Aisya terkadang mengecap. Satu tingkah itu saja, sudah cukup buat dia tersenyum sendiri. Sedetik, dia teringat akan origami yang dibuat hampir satu tahun. Satu tin origami yang dibawa, dia letak di atas katil, di sisi Noraini.
“Aisya… Abang buatkan Aisya bintang. Banyak bintang. Ibu cakap Aisya suka.”