07/08/2026
MENGAPA NEGERI TERTENTU BERPRESTASI TINGGI?
Biar saya kongsikan beberapa pemerhatian lewat kepimpinan negeri-negeri yang ada.
Allah swt merezekikan saya dengan kesempatan menemu-bual kepimpinan politik yang ditaklifkan di negeri-negeri. Tidak kesemuanya, namun sebilangan yang sempat itu telah membuka lembaran pemerhatian yang sangat bermakna.
Sangat bermakna. AlhamdulIllah.
Apa sebenarnya yang membezakan keberkesanan kepimpinan sosioekonomi sesebuah negeri berbanding dengan negeri yang lainnya?
Dalam pengalaman hampir 30 tahun menemu-bual, saya menemukan sebuah jawapan.
Kepimpinan negeri dalam kerangka Menteri Besar, Premier mahu pun Ketua Menteri, syarat tertinggi yang bakal membawa dampak yang bermakna sebenarnya terikat hanya kepada satu faktor yang tekal.
Dan faktor itu tidak diikat kepada kompetensi tertentu. Pemimpin negeri yang berprestasi di negeri-negeri yang bakal saya hujahkan nanti bukanlah tokoh agam (mega) dalam mana-mana parti asalnya. Mereka semuanya bukanlah anak emas atau ayam tambatan parti masing-masing.
Cuma mereka tercatat dalam takdir Allah swt diberikan kesempatan untuk memimpin negeri dan membawa dampak yang memeranjatkan dari segi keberkesanannya.
Malah faktor berkenaan p**a tidak diikat hanya kepada parti-parti tertentu. Kerana faktor berkenaan telah membawa kesan yang sama kepada parti-parti yang berbeza.
Faktor itu adalah integriti. Ya. Semudah itu. Anda boleh menyebutnya senafas dengan istilah jujur atau beramanah. ia bakal bawa muatan makna yang (hampir) sama.
Integriti.
Sejurus seorang pemimpin itu beramanah, maka hasil negeri bakal membawa kemakmuran kepada rakyatnya.
Sewaktu awal saya ditakdirkan menemubual mantan Menteri Besar Negeri Sembilan yang mutakhir selepas tempoh setahun kepimpinan, saya masih ingat dengan segar, malah saya jadikan p**a anekdot itu sebagai inti hujah-hujah dalam banyak siri latihan dan ceramah yang saya sempat diundang . Ia sebuah anekdot yang sangat mengesankan.
Dalam temu bual siri sulung bersama Menteri Besar itu, saya masih ingat bagaimana pada peringkat awalnya beliau meletakkan sasaran hasil negeri kepada peningkatan sekitar RM20 juta ke RM30 juta bagi tahun pertama kepimpinannya.
Namun selepas setahun, terdapat tanda yang jelas bahawa hasil negeri berjaya dipungut mencecah hampir RM100 juta, iaitu pencapaian hampir 5 kali ganda daripada apa yang disasarkan. Dan penggenap tahun pertama kepimpinan beliau kita saksikan sendiri bagaimana tahun pertama kepimpinan beliau menunjukkan prestasi peningkatan hasil sehingga 7 kali ganda daripada sasaran awal.
Ya. 7 kali ganda. Ia bukan hanya kejutan buat saya si penemu-bual. Ia turut mengejutkan tokoh yang ditemu-bual itu juga.
Aneh bukan bagaimana seorang Menteri Besar dalam tahun sulung pentadbirannya boleh menyasarkan jauh rendah daripada apa yang sebenarnya mampu beliau lakukan hanya dalam tahun pertama pentadbirannya?
Dan kejayaan itu diulang templatnya selama dua penggal pentabdiran beliau sehingga membuktikan bahawa Negeri Sembilan mencatatkan hasil yang meningkat sejumlah 1600% sepanjang sesi kepimpinan beliau.
1600%.
Bukan 100% atau 200%.
1600%.
Ada satu soalan yang wajar kita tanyakan. Apa rahsia beliau?
Tanpa agenda nasional yang benar-benar mega, tanpa projek pada skala seperti JS-SEZ, tanpa pembangunan pusat data dengan pelaburan yang megah, Negeri Sembilan menikmati kemakmuran yang konsisten.
Tentu saja ‘soalan maut’ saya adalah, apa rahsia MB?
Dan menjawab soalan itu, saya cuma menerima jawapan yang sangat sederhana. Langsung tiada bunga api yang memercik di dalam kotak fikir saya yang sudah sedia sendat.
Soalan maut yang saya ajukan berpaut kepada harapan bahawa ada satu ‘resepi ajaib’ bahawa ada pendekatan yang mungkin berpaksi kepada kaedah McKinsey atau Boston Consulting atau Delloitte. Saya mengharapkan jawapan sebegitu.
Bahkan tidak.
Kira-kiranya jawapan yang saya terima pada sesi temu bual itu adalah sebegini; “Saya mendorong pegawai di lapangan menjalankan tugas dengan istiqamah dan memujuk semua pihak agar menjalankan tanggungjawab memastikan amanah cukai kita laksanakan dengan penuh jujur”.
Kira-kiranya begitulah.
Sangat tidak seksi. Sangat polos. Tiada ropol-ropol.
Memujuk? Mengapa timbul soal memujuk? Bukankah cukai dan kutipan hasil tertakluk kepada undang-undang dan tatakelola?
Di sinilah saya menemukan sebuah momen ‘eureka’.
Bahawasanya selama ini ada saja pihak yang seharusnya menjalankan amanah dengan memastikan hak cukai dilaksanakan tanpa dakwa dakwi. Namun entah atas apa juga alasan maka tanggungjawab itu sama ada dilengahkan, atau mendapat ‘special treatment’ memungkinkan (hanya mungkin) sebuah ‘pengecualian’.
Bagi saya, hanya itu alasan yang munasabah untuk saya tanggapi.
Dan ia tidak terhenti sekadar meningkatkan hasil negeri, kerana hasil yang berjaya dipungut itu tidak sampai berciciran dalam pelbagai bentuk projek yang separuh masak atau nepotistik.
Maka lihatlah hasil Negeri Sembilan digandingkan prestasi ekonominya dengan musim-musim kepimpinan sebelumnya. Ia menampakkan sebuah perbezaan yang sangat ketara.
Malah seperti yang saya nyatakan, trend amanah dan jujur ini bukan hanya terpakai kepada satu-satu parti. Formula yang sama terzahir dalam kepimpinan Menteri Besar negeri Pahang p**a. Saya sangat merasakan hal yang sama dalam beberapa siri temu bual daya dengan MBnya.
Alasan yang sama juga dengan kepimpinan Premier Sarawak, cuma bezanya Sarawak mempunyai kapasiti yang jauh lebih besar. Pemerhatian saya terhadap prestasi Premier ini bahkan lebih dramatik kerana peluang meneliti secara harfi itu hadir berkali-kali dalam jujukan tahun pentadbiran sejak episod debut-nya lagi hingga ke tahun lalu. Pemerhatian saya terhadap prestasi Sarawak malah agak lebih ‘baku’.
Sekurang-kurangnya saya menemu-bual dan melihat sendiri dari dekat prestasi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pahang serta Premier Sarawak juga. Dalam setiap kesempatan temu bual, tentu saya perlu bekalkan diri dengan suluhan dalam dan tajam terhadap prestasi ekonomi negeri. Dan di situ saja saya melihat laporan demi laporan dan corak yang sama terpancar dengan sangat meyakinkan.
Malah jika ingin ditambah, meski saya belum ditakdirkan menemu-bual, sebuah lagi negeri yang menampakkan corak yang sama adalah hakikatnya negeri kelahiran saya, Perak!
Alhamdulillah. Syukur. Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Sarawak. Rakyat negeri-negeri ini harus syukur dikurniakan pemimpin negeri yang jujur dan beramanah.
Perhatikan, bahawa semua kepimpinan negeri-negeri yang saya sebutkan ini kita tidak mendengar sebarang isu-isu sisi gelap yang merimaskan. Koreklah, jika ada.
Saya tidak menemukan.
Malah keperibadian pemimpin negeri-negeri ini tidak sensasi, sekurang-kurangnya tidak di pentas medsos mereka. Dekorumnya tenang.
Bandingkan terus dengan negeri yang sarat dengan pelbagai isu yang dipolemikkan dalam siri pendedahan video dan debat netizen. Lihat prestasi ekonominya. Senak.
Bukan bermaksud kita terus menuduh bahawa negeri tertentu pemimpinnya bermasalah, cuma corak amanah dan jujur dalam pentadbiran akan membawa hasil tanpa perlu formula dan slogan besar demi mengaburi ‘expectation’ rakyat.
Semudah itu.
Bayangkan jika pemimpin jujur dan amanah itu dibekalkan p**a dengan kecerdasan tinggi, dokongan pakar yang juga jujur tanpa sebarang niat sakau, simbiosis negeri dan persekutuan ala JS-SEZ, tentulah kemakmuran negeri akan lebih memberangsangkan lagi. Bayangkan p**a jika tokoh yang dipilih mampu menggalas wibawa ekonomi negar-i masing-masing di pentas yang lebih luas merentas benua dan buana. Masya Allah, rezekikanlah kami ya Allah. Ini harus jadi inti teras doa kita (selain sembang siasah kosong yang melekat kepada dokongan parti secara rigid).
Adalah rezeki besar mendapat pemimpin yang beramanah dan jujur. Dan rezeki yang lebih besar lagi jika dibekalkan p**a dengan kecerdasan idea serta kesempatan (ruang) simbiosis di peringkat serantau mahu pun antarabangsa.
Pemimpin yang baik dan berkualiti tidak datang dalam pakej parti-parti tertentu. Ada saja kebaikan dari mana-mana jua parti yang ada, seperti mana juga ada juga kelemahan masing-masing.
Parti hanyalah wadah. Ia bukanlah matlamat.
Kitalah yang perlu menuntut calon dengan kaliber jujur dan amanah. Itu syarat paling asas. Kecerdasan dan peluang adalah susulan usaha yang bakal membawa natijah yang lebih besar.
Sejurus sangsi dengan aspek integriti, maka kekal memilih calon sebegitu akan dipertanggungjawakan nanti di sana.
Allahu musta’an.