02/11/2025
Pernah tak terfikir, kerja yang kita buat sekarang sebenarnya mungkin dikira sebagai kerja “gig” walaupun kita kerja professional?
Ramai ingat pekerja gig ni cuma rider makanan atau penghantar barang macam brader Grab, ShopeeFood, atau Panda. Tapi sebenarnya, skopnya jauh lebih luas daripada tu.
Melalui Akta Pekerja Gig 2024 yang bakal dikuatkuasakan tak lama lagi, kerajaan rasmi mengiktiraf golongan ni sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara termasuk juga mereka yang buat kerja profesional.
Jadi… siapa sebenarnya yang dikira pekerja gig? Dan apa hak mereka di bawah akta baharu ni?
Jom kita kupas satu per satu.
Apa Sebenarnya Dalam Akta Pekerja Gig 2024 Dan Takrifan Pekerja Gig?
Dulu kalau rider Foodpanda atau Grab hilang akaun, ramai cuma mampu mengadu di media sosial. Tapi sekarang, untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia, ada undang-undang khas yang memberi suara dan perlindungan kepada semua pekerja gig.
Ramai mungkin pernah dengar tentang Akta Pekerja Gig 2024 (Gig Workers Act) yang baru diluluskan. Tapi apa sebenarnya isi akta ni? Dan macam mana ia ubah cara kita faham tentang kerja bebas? Mari kita ringkaskan satu per satu.
1. Latar Belakang – Kenapa Akta Ni Wujud
Dalam beberapa tahun kebelakangan ni, sektor gig di Malaysia berkembang pesat, dari rider, e-hailing, ke freelance digital designer, penulis, penterjemah, jurugambar, pereka grafik, juruteknik bebas, sehinggalah kepada tenaga profesional yang berkhidmat secara kontrak jangka pendek.
Masalahnya, kerja gig sebelum ini tak dilindungi macam pekerja biasa. Tiada jaminan bayaran tetap, tiada caruman sosial, dan kalau akaun digantung atau kontrak ditamatkan, terus hilang sumber pendapatan.
Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) memperkenalkan Akta Pekerja Gig 2024 untuk mewujudkan sistem yang lebih adil antara penyedia platform (contohnya Grab, Foodpanda, Lalamove) dan pekerja gig termasuk juga mereka yang bekerja di luar platform digital tetapi berdasarkan kontrak kerja sementara atau tugasan bebas.
2. Siapa Dilindungi Dalam Akta Ni.
Akta ni tak menjadikan pekerja gig sebagai pekerja tetap, tapi ia mengiktiraf kategori baru iaitu “pekerja kontrak berasaskan platform digital” dan pada masa yang sama memperluas kefahaman tentang pekerjaan gig secara umum.
Secara asasnya, ada dua kumpulan utama:
- Pekerja gig berasaskan platform digital seperti e-hailing, penghantaran makanan, servis atas talian dan kerja digital bebas (freelance online).
- Pekerja gig profesional atau teknikal, individu yang bekerja secara bebas berdasarkan tugasan kontrak pendek seperti arkitek, pereka bentuk, jurugambar, videografer, jurulatih, penulis kandungan, dan lain-lain.
Definisi utama akta:
1. Penyedia Platform – Syarikat digital yang mengawal kadar, tugasan dan algoritma.
2. Pekerja Gig – Individu yang mengambil tugasan melalui platform atau kontrak sementara tanpa majikan tetap.
3. Perjanjian Gig – Kontrak bertulis yang wajib dan perlu ikut terma minimum diluluskan kerajaan.
Dengan kata lain, kerja gig kini ada landasan sah, bukan lagi kerja bebas tanpa perlindungan.
3. Hak & Perlindungan Asas Untuk Pekerja Gig.
Akta baru ni memberikan hak minimum kepada setiap pekerja gig, antaranya:
- Bayaran mesti tepat waktu dan adil.
- Tak boleh ditamatkan kerja tanpa sebab yang munasabah.
- Ada saluran rasmi untuk buat aduan.
- Platform wajib jelaskan bagaimana algoritma tugasan dan kadar bayaran ditentukan.
Selain itu, kerajaan juga akan perluaskan perlindungan sosial melalui caruman PERKESO dan skim keselamatan kerja. Jika berlaku kemalangan ketika bekerja, ada jaringan keselamatan disediakan.
4. Siapa Pantau Semua Ni?
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan memantau pelaksanaan akta ini.
Antara tanggungjawab mereka:
1. Pantau pendaftaran semua penyedia platform.
2. Wajibkan laporan tahunan meliputi jumlah pekerja aktif, aduan dan kadar bayaran.
3. Laksanakan audit dan tindakan jika ada pelanggaran kontrak.
4. Dulu semua bergantung pada budi bicara syarikat, tapi kini ada kuasa undang-undang yang mengawal selia.
5. Cara Selesai Pertikaian. Akta ni sediakan tiga lapisan penyelesaian pertikaian bagi memastikan pekerja tak teraniaya:
6. Siasatan dalaman – platform wajib ada saluran aduan dan mekanisme siasatan rasmi.
7. Pendamaian – jika tak selesai, kes dibawa ke pegawai pendamai kerajaan.
8. Tribunal Pekerja Gig – jika masih gagal, kes boleh dirujuk ke tribunal khas.
Langkah ni bagi memastikan setiap kes dapat diselesaikan dengan cepat dan berstruktur.
6. Hubungan Platform dan Pekerja
Akta ni cuba imbangi hubungan antara platform dan pekerja supaya lebih adil.
Beberapa peraturan utama:
Platform tak boleh ubah kadar bayaran tanpa notis bertulis.
Kontrak mesti jelas tentang hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak.
Data kerja digital mesti boleh diakses oleh pekerja sendiri.
Secara mudah, kalau akaun disekat tanpa sebab, pekerja ada hak untuk tahu kenapa dan berhak mencabar tindakan itu.
7. Tribunal Pekerja Gig & Persatuan.
Jika pertikaian gagal diselesaikan di peringkat platform, kes boleh dibawa ke Tribunal Pekerja Gig yang diketuai Presiden dilantik kerajaan.
Ciri penting tribunal ini:
Prosiding terbuka kepada umum.
Tiada peguam dibenarkan. Platform diwakili pegawai, manakala pekerja boleh diwakili ahli keluarga atau ahli persatuan pekerja gig.
Rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi.
Tribunal ini direka untuk jadi cepat, murah dan mudah difahami oleh orang awam.
Kerajaan juga menggalakkan pekerja gig menubuhkan persatuan berdaftar. Persatuan ini boleh bantu ahli semasa tribunal dan juga terlibat dalam Majlis Perundingan Pekerja Gig (Gig Consultative Council) bagi membincangkan isu kadar bayaran, kontrak dan piawaian kerja industri.
8. Implikasi & Signifikan
Akta ni menandakan perubahan besar dalam landskap kerja moden Malaysia:
Buat pertama kali pekerja gig diiktiraf secara rasmi.
Ada mekanisme perlindungan dan pengawasan sah.
Buka jalan kepada skim caruman sosial dan faedah lain untuk pekerja sepenuh masa.
Ini menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah ekonomi digital yang lebih beretika dan seimbang.
9. Kesimpulan
Akta Pekerja Gig 2024 bukan sempurna, tapi ia langkah besar ke depan. Ia memberi suara, perlindungan dan maruah kepada golongan yang sebelum ni dianggap sebagai “kerja sementara”.
Dari rider ke freelancer, jurugambar ke pereka bentuk, semua kini diiktiraf dan dilindungi di bawah payung undang-undang negara. Pekerja gig dah ada hak yang sah di sisi undang-undang.
Ohh, BTW, Influencer atau content creator yang dapat bayaran terus daripada platform macam Facebook, TikTok atau YouTube boleh dikira sebagai pekerja gig, sebab mereka bekerja sendiri dan pendapatan bergantung pada tugasan atau hasil konten.
Cuma bezanya, mereka tak termasuk dalam kategori pekerja gig berdaftar di bawah Akta Pekerja Gig 2024 (yang fokus pada platform e-hailing dan p-hailing).
Maksudnya, influencer ni masih pekerja gig bebas (self-employed), tapi belum ada perlindungan undang-undang macam pekerja gig yang daftar dengan platform rasmi.