28/03/2017
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
HAK ASASI MANUSIA SIRI KE-6
1 hingga 5 April 2017
Knowledge Garden Learning Centre, Seri Kembangan.
Program Hak Asasi Manusia meneruskan aktiviti untuk mencapai objektifnya bagi mendekati pelarian Rohingya yang sekian lama menapak di Malaysia. Sebelum ini program HAM V merupakan program kolaborasi antara Kolej Ibu Zain, UKM dan Kelab Antropologi dan Sosiologi, UMS, di mana usaha untuk mendekati kanak-kanak tanpa negara. Isu pelarian Rohingya ini biasanya hanya mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan tempatan kerana pelarian ini tidak mempunyai status kewarganegaraan di mana-mana Negara di dunia ini. Ketiadaan status kewarganegaraan ini secara langsung menjadikan pelarian ini bukan tanggungjawab negara di mana mereka berada seperti Malaysia.
Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati hak asasi manusia seperti keselamatan sosial, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan lain-lain hak sebagai seorang manusia. Walau bagaimanapun, kehadiran dan kewujudan mereka di negara ini sudah lama dan jumlah mereka semakin ramai saban tahun.
Justeru, diharap program ini akan memberikan kefahaman kepada mahasiswa tentang kewujudan kanak-kanak Rohingya di negara ini khususnya sekitar Selangor. Mahasiswa juga diharap dapat memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut dan masalah sosial yang wujud bersama kehadiran mereka.
Doa dan sokongan sahabat-sahabat sekalian kami dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Semoga Yang Maha Kuasa merestui dan memberikan jalan yang terbaik buat kita semua.
"Through Education We Learn"