18/07/2021
KELEBIHAN AMALAN DI HARI ARAFAH
Sesungguh, tarikh 9 Zulhijjah yang dikenali sebagai hari Arafah adalah antara hari yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Diriwayatkan juga bahawa Hari Arafah adalah sebaik-baik hari sebagaiaman diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ;
أفضلُ الأيام يومُ عرفة
Maksudnya : ''Sebaik-baik hari ialah hari Arafah.
[Rujuk Jami’ usul fi ahadis al-Rasul (6867)]
Marilah kita sama-sama melaksanakan amalan-amalan sunnah berikut di Hari Arafah :
1. PUASA SUNAT
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya:
“Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH :
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya:
"Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta'ala."
2. TAKBIR RAYA
Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW :
كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ
Maksudnya:
“Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”
Waktu bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga (13 Zulhijjah). Disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu secara Takbir Muqayyad dengan perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu).
Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.
3. MEMPERBANYAK DOA & ZIKIR
Rasulullah SAW telah bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya:
“Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
4. MEMPERBANYAK MEMOHON KEAMPUNAN
Imam Malik meriwayatkan dalam kitab al-Muwaththa' daripada riwayat-riwayat mursal Thalhah bin Ubaidillah bin Kariz bahawa Rasulullah SAW bersabda,
ما رؤيَ الشيطانُ يوما هو فيه أصْغَرُ ، ولا أدْحَرُ ولا أحْقَرُ ، ولا أغْيَظُ منه في يوم عرفة ، وما ذاك إلا لما يرى من تَنَزُّل الرحمة ، وتجاوز الله عن الذُّنوبِ العِظامِ ، إلا ما أُرِيَ يومَ بَدْر ، فإنَّه قَدْ رأى جبريل يَزَعُ الملائكة
Maksudnya:
''Tiada hari syaitan tidak di lihat dirinya paling kerdil, paling jauh, paling hina dan paling marah pada mana-mana hari melainkan pada hari Arafah. Itu hanya kerana ia melihat turunnya rahmat dan Allah mengampunkan segala dosa besar. Itulah kecuali daripada apay ang telah ditunjukkan pada hari Badar.'' Ditanya kepadanya, ''Apa yang ditunjukkan kepadanya pada hari Badar?'' Baginda bersabda, ''Bukan kah dia melihat Jibrail mengatur barisan pada malikat.''
[Riwayat Imam Malik (6866) di dalam al-Muwatta’,al-Baihaqi (4069) di dalam Syu’ab al-Iman]