The Patriots

The Patriots The Patriots is a group of people from different walks of life, age, race and religion that comes together to form a community of peace and tolerance.

Also known as Persatuan Patriots Malaysia, one of the leading NGO in Malaysia.

"Kunci Tanpa Anak Kunci: Peti Logam Dan Huruf Rahsia Lebih 800 Tahun Dahulu!"Oleh: Mazlan SyafieSetiap hari apabila kita...
16/08/2026

"Kunci Tanpa Anak Kunci: Peti Logam Dan Huruf Rahsia Lebih 800 Tahun Dahulu!"

Oleh: Mazlan Syafie

Setiap hari apabila kita mahu membuka telefon pintar, jari kita pantas menaip nombor PIN pada skrin. Kalau kita menyimpan dokumen dalam laci di pejabat atau ke gimnasium, kita pusingkan p**a tombol nombor pada mangga kunci.

Semua langkah ini sudah jadi rutin yang melekat dalam hidup kita. Oleh sebab ia terlalu biasa, kita selalunya menganggap sistem kunci kombinasi begini sebagai penemuan dari dunia moden.

Tetapi kalau kita selak helaian masa lebih lapan abad yang lalu, sejarah menyimpan cerita yang jauh lebih halus tentang cara manusia memelihara barang berharga mereka.

Lebih 800 tahun dahulu, tukang-tukang logam serta jurutera di dunia Islam sudah pun membina dan mendokumentasikan seni kunci yang hanya akan terbuka apabila susunan hurufnya diteka dengan tepat.

Jika kita melangkah masuk ke The David Collection di bandar Copenhagen pada hari ini, ada sebuah artifak yang memegang bukti tentang kepintaran tersebut. Pihak muzium menyimpannya di bawah nombor inventori 1/1984.

Apa yang ada di situ bukanlah sebuah peti yang sempurna secara keseluruhan. Ia merupakan serpihan peti yang mengandungi bahagian penutup dan mekanisme tombol.

Walaupun objek itu kini sekadar serpihan, bahan dan ukirannya masih kuat bercerita. Peti ini dibina menggunakan bahan loyang tuang dan loyang ketuk, manakala permukaannya ditatahi dengan hiasan perak serta tembaga. Ukurannya p**a sekitar 4.4 sentimeter tinggi, 23.5 sentimeter lebar dan 18.5 sentimeter dalam.

Inskripsi pada objek ini membolehkan ia ditarikhkan kepada 597 Hijrah, yang bersamaan dengan tempoh 1200 hingga 1201 Masihi. Pihak muzium mengaitkan kepingan logam ini dengan wilayah Iran, dan ada kemungkinan ia datang dari kota Isfahan.

Manusia yang merangka dan menyiapkan binaan tersebut turut mencatatkan namanya, iaitu Muhammad ibn Hamid al-Asturlabi al-Isfahani.

Gelaran "al-Asturlabi" pada namanya itu memberi petunjuk bahawa beliau merupakan seorang pembuat alat ukur astrolab. Memang mengagumkan bila kita bayangkan tangan yang terbiasa membina alat untuk membantu manusia membaca kedudukan langit, turut membina sebuah mekanisme kunci logam yang sangat halus sifatnya.

Pada bahagian penutup logam tersebut, terdapat empat tombol berkembar. Mekanisme ini tidak menggunakan nombor, sebaliknya ia beroperasi menggunakan huruf.

Setiap bahagian pada tombol itu boleh dilaras pusingannya kepada 16 kedudukan. Menurut pengiraan pihak muzium, pelarasan bebas pada tombol berkembar ini mampu menjana sejumlah 4,294,967,296 kemungkinan susunan.

Apabila kita bercakap mengenai angka 4.29 bilion kemungkinan pada lebih lapan abad yang lalu, ia bukanlah bermaksud seorang pencuri perlu duduk memusingkan tombol untuk mencuba satu persatu gandingan yang ada. Angka itu adalah satu tembok logik yang dibina dengan matematik untuk memastikan tekaan rawak amat sukar menembusi halangan mekanikal tersebut.

Mekanisme ini direka supaya ia hanya menurut arahan apabila susunan huruf yang benar-benar tepat dimasukkan.

Sebaik sahaja huruf-huruf pada tombol luar dipusing dan beratur sejajar pada gandingan rahsianya, sebuah plat logam di bahagian dalam peti akan dilepaskan. Plat dalaman ini bersambung terus kepada pemegang luar dan keseluruhan mekanisme kunci, membolehkan penutup logam berkenaan ditarik dan dibuka.

Mekanisme rahsia menggunakan huruf ini sebenarnya tidak hanya muncul pada satu objek sahaja. Sekitar tempoh yang sama, seorang jurutera agung bernama al-Jazari turut menerangkan tentang reka bentuk kunci berasaskan huruf di dalam manuskripnya.

Pengetahuan itu direkodkan di dalam kitab mekaniknya yang masyhur, iaitu "al-Jami' bayn al-'ilm wa al-'amal al-nafi' fi sina'at al-hiyal". Beliau menyiapkan karya ini pada sekitar tahun 1206 di lingkungan istana Artuqid di Amid, sebuah kota yang kini dikenali sebagai Diyarbakir.

Kitab al-Jazari sangat terperinci, menghuraikan 50 buah peranti mekanikal di dalam pelbagai kategori. Reka bentuk kunci kombinasi ini dihuraikan di bawah bahagian alat-alat pelbagai.

Kunci yang dibincangkan oleh al-Jazari menggunakan prinsip yang serupa, cuma susunan komponennya sedikit berbeza. Beliau melakarkan penggunaan empat tombol, dan pada setiap tombol terdapat tiga buah cakera yang mempunyai pilihan huruf.

Binaan ini menghasilkan sebuah kod rahsia sepanjang 12 huruf. Apabila takuk-takuk pada cakera ini sejajar pada susunan yang tepat, mekanisme membenarkan peti tersebut dibuka.

Di dalam catatannya, al-Jazari secara jujur mengakui bahawa tukang-tukang terdahulu sebelum zamannya pun sudah membuat kunci yang dibuka menggunakan huruf.

Hari ini, tidak banyak bukti fizikal seumpama ini yang terselamat melepasi putaran masa. Sebuah lagi peti dari separuh pertama abad ke-13 yang berasal dari Jazira, utara Iraq, kini tersimpan dengan rapi di The Khalili Collections.

Peti itu masih lagi memiliki empat tombol dengan 16 huruf pada setiap tombolnya. Bagaimanapun, mekanisme dalaman peti tersebut sudah hilang entah ke mana. Rekod muzium menyatakan bahawa hanya empat buah lagi peti Islam dari jenis kunci sebegini yang diketahui masih wujud di dunia hari ini.

Apabila kita merenung tombol-tombol purba pada serpihan ini, kita dapat menyelami bagaimana akal orang dahulu bekerja menjaga barang simpanan mereka.

Bagi mereka, sebuah kunci itu bukanlah sekadar sepotong logam berat untuk menahan penutup kotak. Ia adalah satu rahsia yang dijahit dengan cermat ke dalam susunan huruf dan akal.

Kisah peti berhuruf rahsia ini sejujurnya tiada dalam helaian buku Legasi Teknologi Tamadun Islam.

Tetapi jika saudara seronok mendengar cerita tentang akal dan tangan orang dahulu mencipta alat yang memudahkan urusan harian, banyak lagi kisah teknologi lain yang sedia menanti saudara di dalam naskhah tersebut. Jemputlah sambung meneroka sejarah tamadun Islam menerusi pautan di bawah.

https://s.shopee.com.my/903ssbqbIb

""Merah Putih" Diturunkan. Hari Damai Aceh Ke-21 Bertukar Tegang Di Halaman Baiturrahman!"Oleh: Mazlan Syafie Pagi 15 Og...
16/08/2026

""Merah Putih" Diturunkan. Hari Damai Aceh Ke-21 Bertukar Tegang Di Halaman Baiturrahman!"

Oleh: Mazlan Syafie

Pagi 15 Ogos 2026 sepatutnya berlalu dengan tenang. Ia sebuah hari untuk rakyat Aceh menarik nafas lega sambil mengenang sengketa yang sudah lama ditinggalkan.

Di pekarangan Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, orang ramai berkumpul mengalunkan zikir dan doa sempena Hari Damai Aceh.

Tarikh ini seolah-olah tarikh keramat. Tepat 21 tahun yang lalu, Kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menandatangani Memorandum Persefahaman Helsinki yang mengunci rapat pintu konflik bersenjata hampir tiga dekad. Namun, ketenangan pagi itu direntap secara tiba-tiba.

Ada susuk tubuh memanjat tiang bendera utama di halaman masjid lalu menurunkan bendera "Merah Putih". Sebagai gantinya, sehelai kain merah dengan corak bulan dan bintang perlahan-lahan dinaikkan berkibar di atas tiang yang sama.

Sebaik sahaja bendera "Bulan Bintang" itu berkibar, suasana di Baiturrahman terus bertukar kecoh. Laporan dari lokasi menyatakan kedengaran suara hiruk-pikuk daripada kelompok orang ramai, disusuli p**a dengan beberapa letusan senjata api misteri yang mencetuskan panik.

Sebahagian kump**an mula bertindak melontar batu ke arah anggota polis berseragam antirusuhan. Keadaan yang semakin tegang itu memaksa pihak berkuasa melepaskan semburan air dan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Laporan awal tidak dapat memastikan pihak mana yang melepaskan tembakan senjata api tersebut. Kump**an KontraS Aceh p**a mendakwa anggota keselamatan telah melepaskan tembakan amaran ke udara yang disifatkan agak berlebihan.

Apa pun dakwaannya, menjelang senja, realitinya sudah cukup jelas. Beberapa kenderaan rosak, sejumlah orang awam ditahan sebelum dibebaskan semula, dan ulang tahun kedamaian ke-21 itu diselubungi dengan asap gas pemedih mata.

Kalau kita sekadar menatal video pendek kejadian ini di media sosial, otak kita pasti laju membuat kesimp**an. Cukup mudah untuk menuduh kononnya Aceh mahu merdeka semula atau angkatan bersenjata GAM sudah bangkit kembali. Nanti dulu, jangan terlalu pantas menjatuhkan hukum.

Untuk memahami mengapa sehelai bendera mampu memikul beban emosi yang begitu berat, kita wajib mengundur masa ke belakang. Konflik bersenjata GAM pada tahun 1976 telah mengheret Aceh ke dalam kancah peperangan yang menelan puluhan ribu nyawa.

Orang awam menjadi mangsa yang tersepit di tengah-tengah. Ibu hilang anak, petani dibunuh, dan masyarakat terpaksa hidup bernafaskan ketakutan. Skala operasi ketenteraan yang menekan ini terus memuncak, sehinggalah ombak besar tsunami menyapu Aceh pada hujung 2004.

Bencana alam yang meranapkan sebahagian besar nyawa dan tanah Aceh itu akhirnya "memaksa" kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menelan ego. Mereka meletakkan senjata lalu duduk berunding di Helsinki.

Melalui perjanjian damai 2005 itu, GAM bersetuju melepaskan tuntutan kemerdekaan penuh. Sebagai timbal balas, Jakarta memberi ruang autonomi dan pemerintahan sendiri yang jauh lebih luas kepada Aceh bagi membolehkan bekas pejuang beralih masuk ke dalam gelanggang politik yang sah.

Namun, di dalam memorandum tersebut wujud satu peruntukan kecil yang membenarkan Aceh menggunakan simbol wilayahnya sendiri. Pada tahun 2013, kerajaan tempatan meluluskan undang-undang yang mengangkat reka bentuk "Bulan Bintang" sebagai bendera rasmi wilayah mereka.

Masalahnya, reka bentuk ini saling tidak tumpah seperti bendera rasmi GAM ketika zaman konflik. Kerajaan pusat membantah keras berasaskan peraturan negara yang melarang penggunaan lambang menyerupai gerakan pemisah, membuatkan pertikaian ini meleret tanpa penyelesaian yang muktamad.

Undang-undang wilayah itu sebenarnya tidak pernah mengarahkan bendera "Merah Putih" dibuang, sebaliknya meletakkan kedua-duanya berdampingan.

Tetapi apabila ada pihak bertindak memanjat tiang dan menggantikan lambang negara dengan lambang sejarah konflik, ia adalah satu tindakan yang terus mengguris parut lama.

Sungguhpun begitu, kejadian di Baiturrahman ini tidak seharusnya dibaca sebagai isyarat perang. Tokoh penting perdamaian Aceh, Jusuf Kalla sendiri menegaskan bahawa kekecohan itu lebih mencerminkan rasa tidak puas hati kelompok tertentu terhadap kepimpinan tempatan, bukannya satu bentuk pemberontakan menentang Jakarta.

Corak politik Aceh sudah jauh berubah. Dulu GAM melawan kerajaan pusat, kini bekas pimpinan GAM sendiri yang memegang kerusi empuk pemerintahan wilayah. Jadi, luahan rasa tidak puas hati yang dizahirkan ini lebih bersifat pertarungan politik dalaman.

Malah, Komite Peralihan Aceh (KPA) yang ditunjangi bekas anggota GAM turut meluahkan rasa kesal atas apa yang berlaku. Mereka merayu agar seluruh masyarakat Aceh terus menjaga kedamaian ini bersama-sama.

Perunding damai dari Finland yang berada di lokasi, Juha Christensen juga mengingatkan satu perkara penting. Bendera "Bulan Bintang" itu perlu dihormati sebagai lipatan sejarah, bukannya ditunggang untuk mencipta ketegangan baharu.

Perdamaian bukanlah sebuah piala yang boleh disimpan di dalam almari kaca sebaik sahaja dakwat tandatangan kering. Ia menuntut penjagaan berterusan daripada manusia yang waras.

Generasi yang lahir pasca-Helsinki kini sudah mencecah usia 21 tahun. Mereka membesar di universiti, masuk ke alam pekerjaan, dan membina keluarga tanpa perlu mengenali bunyi tembakan senjata api atau merasai seramnya sekatan jalan raya tentera.

Kejadian pada 15 Ogos semalam sekadar memberikan satu tamparan realiti. Jarak antara keamanan masa kini dengan sejarah kelam masa lampau boleh menjadi selebar sehelai kain yang sedang berkibar.

"Merah Putih" kekal teguh sebagai bendera Republik Indonesia, manakala "Bulan Bintang" mempunyai memori dan nilai sentimental tersendiri dalam sejarah identiti Aceh. Di antara kedua-dua lambang inilah terletaknya titik persefahaman yang sangat mahal harganya.

Selepas asap gas pemedih mata hilang dari udara Banda Aceh, soalan utamanya bukan lagi tentang siapa yang menang dalam pergaduhan jalanan tersebut.

Persoalan yang jauh lebih besar adalah sama ada semua pihak masih menghargai sebuah keamanan yang hanya berjaya dikutip semula selepas puluhan ribu nyawa melayang dan dihanyutkan oleh ombak besar tsunami.

Kalau kisah Aceh tadi mengajar kita sesuatu, ia adalah satu hakikat yang mudah dilupakan. Di sebalik bendera, perjanjian damai, meja rundingan dan ucapan pemimpin, sentiasa ada percaturan kuasa yang jauh lebih besar daripada apa yang kelihatan di permukaan.

Sebuah perang boleh mengambil masa sehari untuk meletus, tetapi untuk menghentikannya mungkin memerlukan puluhan tahun, ribuan nyawa dan keberanian dua pihak untuk akhirnya duduk semeja. Begitulah dunia geopolitik bergerak. Apa yang kita lihat di hadapan kamera selalunya cuma penghujung kepada permainan panjang yang sudah berlangsung jauh lebih awal.

Kalau anda mahu memahami bagaimana dunia benar-benar berfungsi di sebalik propaganda, kepentingan negara, diplomasi dan percaturan kuasa besar, Dunia Tanpa Tembok ialah antara buku yang kami cadangkan untuk dibaca.

Buku ini membawa pembaca melihat geopolitik bukan sekadar melalui perang dan peta, tetapi melalui persoalan yang lebih besar. Mengapa sesebuah negara memilih untuk berperang? Mengapa musuh akhirnya boleh duduk semeja? Mengapa negara kecil perlu begitu berhati-hati apabila kuasa besar mula bermain di sekelilingnya? Dan bagaimana segala percaturan antarabangsa itu akhirnya boleh memberi kesan kepada negara contohnya seperti Malaysia?

Bahasanya mudah diikuti tetapi isinya tajam. Ia membantu kita melihat bahawa dalam hubungan antarabangsa, apa yang diumumkan kepada dunia tidak semestinya keseluruhan cerita.

Kalau anda mahu membaca berita dunia dengan mata yang lebih kritikal dan memahami apa yang mungkin sedang berlaku di belakang tabir, boleh dapatkan siri Dunia Tanpa Tembok di sini:

DTT 1
https://s.shopee.com.my/BFsXk88p6

DTT 2
https://s.shopee.com.my/4filibZSYH

DTT 3
https://s.shopee.com.my/3LDO87rvKd

Atau kalau mahu lebih banyak penjimatan, diskaun dan promosi, boleh dapatkan terus melalui Webstore kami:

https://bit.ly/49azayK

“Penuh Asap 'Fogging' Tapi Ramai Rebah. Kisah Virus Yang Mendapat Nama Dari Sebuah Kampung Di Malaysia!”Oleh: Mazlan Sya...
16/08/2026

“Penuh Asap 'Fogging' Tapi Ramai Rebah. Kisah Virus Yang Mendapat Nama Dari Sebuah Kampung Di Malaysia!”

Oleh: Mazlan Syafie

Bermula dari penghujung tahun 1998, suasana di beberapa ladang ternakan sekitar daerah Kinta, Perak mula berubah.

Bunyi dengusan haiwan ternakan sewaktu diberi makan diganti dengan satu bunyi batuk yang sangat aneh.

Batuk itu kedengaran kuat dan kasar, seolah-olah haiwan itu sedang sukar bernafas di dalam kandang.

Penduduk tempatan pada waktu itu mula merujuk keadaan tersebut sebagai "sindrom babi menyalak". Begitulah sifat manusia.

Bukan suara batuk itu sahaja yang menimbulkan resah. Haiwan-haiwan di dalam kandang kelihatan letih dan ada yang menampakkan tanda-tanda sakit saraf.

Kemudian, keresahan yang bermula di kandang ini mula merayap perlahan-lahan ke dalam rumah penternak itu sendiri.

Orang dewasa yang setiap hari bekerja memandikan haiwan, mencuci kandang dan menguruskan sisa ternakan mula jatuh demam secara tiba-tiba.

Suhu badan mereka naik mendadak. Mereka mengadu sakit kepala yang melampau.

Oleh kerana penyakit ini menyerang dan meradangkan kawasan otak, ada mangsa yang mula keliru dan meracau, sebelum akhirnya rebah lalu tidak sedarkan diri.

Penyakit ini perlahan-lahan beralih ke selatan. Ia merebak ke Negeri Sembilan, turun ke ladang-ladang di Selangor, sehinggalah menjejaskan pekerja rumah sembelihan di Singapura.

Penularan ini banyak dipacu oleh pergerakan haiwan ternakan antara ladang. Pada waktu itu, penternak sendiri tidak tahu haiwan yang dipindahkan sedang membawa musuh yang belum bernama.

Pada awalnya, sangkaan jatuh kepada "Japanese encephalitis" atau biasa dipanggil JE. Ia sejenis penyakit radang otak bawaan nyamuk yang memang sudah lama wujud di rantau ini.

Bila sangkaan terarah pada serangga bersayap, langkah kawalan terus digerakkan pantas.

Bau asap "fogging" mula menyelubungi udara kampung. Semburan dilakukan bagi membunuh nyamuk di kawasan sekitar ladang.

Tetapi ada sesuatu yang sangat ganjil sedang berlaku di depan mata.

Walaupun kawasan ladang sudah disembur, pekerja dan ahli keluarga mereka masih terus jatuh sakit.

Corak pesakit juga sangat berbeza. Jangkitan JE kebiasaannya lebih kerap menyerang kanak-kanak.

Namun kali ini, katil hospital dipenuhi oleh golongan lelaki dewasa yang sihat dan kuat bekerja sebelum mereka diserang demam.

Babi di ladang juga menderita batuk yang menyesakkan dada. Sejarah perubatan tahu bahawa patogen JE amat jarang sekali membuatkan haiwan perumahnya merana sebegitu rupa.

Pasukan perubatan ketika itu sebenarnya sedang berlumba dengan masa melawan ancaman baharu. Memang ada ujian yang menunjukkan jangkitan JE, tetapi ada musuh lain yang jauh lebih ganas sedang bersembunyi.

Tanda tanya ini mula terjawab apabila sekump**an penyelidik dari Universiti Malaya berusaha keras meneliti pelbagai sampel klinikal.

Seorang pengkaji bernama Dr Chua Kaw Bing, bersama rakan-rakan pasukannya, tekun menjejaki punca sebenar penyakit misteri ini.

Mereka akhirnya berjaya mengasingkan satu jenis virus asing daripada cecair serebrospina, iaitu cecair yang mengelilingi otak dan saraf tunjang seorang pesakit.

Ini adalah satu kejayaan penuh bermakna. Pasukan tempatan berhubung rapat dan bekerjasama dengan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dari Amerika Syarikat dan penyelidik antarabangsa bagi mengenali patogen tersebut.

Apabila diteliti, virus ini mempunyai kaitan yang rapat dengan virus Hendra. Kedua-duanya berada di bawah keluarga Paramyxoviridae, sebelum dikelompokkan ke dalam genus Henipavirus.

Oleh sebab sampel virus pertama yang berjaya diasingkan itu datang daripada pesakit di Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan, nama kampung itu terus menjadi rujukan pada peta perubatan dunia.

Maka lahirlah nama virus Nipah.

Dari mana musuh ini menjengah manusia? Para pengkaji mula menyusun jejak dari sangkar ternakan hingga ke dahan pokok di pinggir hutan.

Perhatian beralih kepada kelawar buah. Kelawar bertindak sebagai perumah semula jadi yang membawa virus Nipah secara diam tanpa mereka sendiri jatuh sakit.

Walaupun tiada siapa yang berada di situ untuk melihat saat pertama jangkitan bermula, jejak saintifik yang ditinggalkan amat jelas.

Apabila ladang atau dusun terletak terlalu rapat dengan sempadan hutan, kelawar sering datang mencari makan di dahan pokok berhampiran kandang.

Sisa buah yang digigit atau rembesan kotoran dari kelawar ini jatuh ke tanah. Makanan yang sudah tercemar ini kemudiannya dimakan oleh haiwan ternakan di bawah.

Sebaik sahaja virus ini memasuki badan khinzir, haiwan itu bertindak sebagai hos perantara. Khinzir menjadi enjin pengganda yang membiakkan virus itu dengan sangat pantas.

Dari situlah ia melompat kepada manusia. Sentuhan rapat setiap hari dengan haiwan yang sedang sakit membolehkan virus masuk ke dalam sistem pernafasan penternak.

Sepanjang wabak melanda dari tahun 1998 hingga 1999, sebanyak 265 kes ensefalitis akut telah direkodkan.

Daripada jumlah tersebut, 105 orang pesakit meninggal dunia.

Ujian makmal membuktikan bahawa virus Nipah ialah patogen utama di sebalik kemusnahan ini, walaupun pada waktu yang sama terdapat juga kes jangkitan bertindih.

Bagi memutuskan rantaian maut ini, sekatan pergerakan haiwan dilaksanakan segera. Ladang dan kawasan kampung terjejas dikuarantin dengan ketat. Para pekerja memakai kelengkapan perlindungan sewajarnya.

Hampir sejuta ekor babi terpaksa dimusnahkan!

Para penternak pada waktu itu bukan sahaja meratapi pemergian ayah, ibu, jiran dan sahabat handai, malah terpaksa melihat segala keringat dan punca pendapatan mereka hancur sekelip mata.

Pertembungan di antara batas hutan yang menjadi rumah kelawar, ruang kandang haiwan, dan tempat manusia mencari rezeki akan sentiasa menyimpan risikonya yang tersendiri.

Bunyi batuk aneh dari kandang di Perak itu menjadi peringatan jelas bahawa di sekeliling kita, sentiasa wujud patogen yang menunggu ruang untuk menyeberang.

Catatan sejarah gelap virus Nipah ini sebenarnya hanya sebuah penceritaan yang saya kongsikan di sini. Boleh jadi ada antara kita yang masih tak tahu kerana masih terlalu kecil untuk memahami masalah dunia pada waktu itu.

Apapun, semangat pasukan perubatan kita dalam melawan musuh yang tidak kelihatan ini membuatkan saya teringat tentang satu perkara. Sejarah perubatan manusia di mana-mana zaman pun sentiasa terbina di atas keberanian menyiasat alam.

Bagi saudara yang teringin menyusuri bagaimana masyarakat dan pakar perubatan zaman dahulu bergelut merawat penyakit ketika wabak melanda kota-kota peradaban mereka, naskhah sejarah ini menanti di pautan bawah.

Dapatkan buku “Sejarah Perubatan Islam” pada harga pra tempah melalui pautan ini: https://s.shopee.com.my/AKZGT6AQZk

Untuk melihat p**a bagaimana ilmu dalam tamadun Islam diterjemahkan menjadi teknologi yang mengubah kehidupan manusia, dapatkan “Legasi Teknologi Tamadun Islam” di https://s.shopee.com.my/903ssbqbIb atau ambil terus “Kombo Sains Islam” yang menghimpunkan kedua-dua buku di https://s.shopee.com.my/2qTFaHVKvM

“Arab Saudi, Turkiye Dan Pakistan Bersatu: Apa Sebab Pakatan Ini Terjadi?”Oleh: Fahrin AzriSejarah tercipta pada 7 Ogos ...
15/08/2026

“Arab Saudi, Turkiye Dan Pakistan Bersatu: Apa Sebab Pakatan Ini Terjadi?”

Oleh: Fahrin Azri

Sejarah tercipta pada 7 Ogos 2026 apabila di kota Mekah, tiga pemimpin dunia Islam berdiri sebaris untuk satu momen yang jarang berlaku.

Muhammad bin Salman dari Arab Saudi, Erdogan dari Türkiye, dan Shehbaz Sharif dari Pakistan dikatakan telah menandatangani sesuatu yang dipercayai mampu mengubah keseluruhan landskap keselamatan seluruh Timur Tengah dan Asia Selatan.

Dan, nama pakatan ini adalah Mecca Joint Defence Agreement.

Kandungannya ringkas tapi berat, di mana serangan bersenjata ke atas mana-mana satu daripada tiga negara ini akan dianggap sebagai serangan ke atas ketiga-tiganya sekali.

Erdogan sendiri menyamakan pakatan dan persetujuan ini dengan Artikel 5 NATO.

Tetapi, ini bukan hanya pengumuman kosong yang dibuat semata-mata, kerana ia dibina atas asas yang sudah wujud.

Setahun sebelum ini, pada September 2025, Arab Saudi dan Pakistan sudah pun menandatangani Strategic Mutual Defence Agreement di Istana Al-Yamamah, Riyadh.

Perjanjian itu memformalkan kerjasama ketenteraan yang sebenarnya sudah berjalan berdekad lamanya, di mana Pakistan lama menjadi jurulatih dan penasihat teknikal kepada tentera Saudi.

Apa yang berlaku di Mekah adalah lanjutan perjanjian itu, tapi kali ini Türkiye turut masuk sekali.

Dan dapat dilihat bahawa kombinasi tiga negara ini bukan calang-calang.

Gabungan tentera aktif mereka mencecah 1.4 juta orang, dengan lebih 3,400 pesawat, 6,000 kereta kubu, dan lebih 340 aset tentera laut.

Pakistan p**a menyumbang tenaga manusia paling ramai pada 660,000, diikuti Türkiye 481,000 dan Arab Saudi 247,000.

Tetapi ada satu persoalan, mengapa perjanjian ini termeterai sekarang?

Jawapannya terletak pada perang Iran yang bermula Februari 2026.

Arab Saudi pada waktu itu telah terkena serangan dron dan peluru berpandu berulang-ulang kali daripada Iran, Houthi di Yaman, dan kump**an bersenjata Syiah di Iraq.

Eksport minyak dan rancangan pembangunan besar-besaran Saudi turut terjejas teruk.

Lebih membimbangkan lagi, ini menimbulkan persoalan serius tentang sejauh mana boleh dipercayai payung keselamatan Amerika Syarikat yang selama ini disandarkan kepada Riyadh.

Türkiye dan Pakistan p**a tidak terkena serangan secara langsung, tapi kedua-duanya risau dengan ketidakstabilan serantau yang semakin melarat.

Perjanjian ini juga merupakan sebuah hasil hampir setahun rundingan secara diam-diam dilaksanakan, dan pemilihan Mekah sebagai lokasi menandatangani bukan satu kebetulan.

Kota paling suci dalam Islam ini memberi simbolik yang besar kepada sebuah pakatan pertahanan.

Dari segi teras yang paling penting, setiap negara membawa kekuatan berbeza ke meja. Dan ini terbukti dengan Pakistan sebagai satu-satunya negara Islam yang ada senjata nuklear.

Arab Saudi p**a membawa kekayaan ekonomi dan pengaruh serantau yang besar.

Türkiye p**a ahli NATO dengan tentera kedua terbesar selepas Amerika Syarikat, ditambah industri pertahanan domestik yang semakin canggih.

Untuk Türkiye dan Pakistan, pakatan ini telah membuka pintu kepada pasaran kewangan Saudi untuk industri pertahanan mereka.

Kedua-dua negara ini sebenarnya ada kapasiti pengeluaran senjata yang melebihi keupayaan ekonomi domestik mereka sendiri.

Namun, jangan salah anggap ini bahawa pakatan ini seperti NATO sepenuhnya.

Para penganalisis di Islamabad sendiri berhati-hati supaya perjanjian ini tidak ditafsir sebagai bersasar kepada Iran atau mana-mana negara lain, dan pihak Saudi turut menegaskan ia bukan pakatan mazhab atau blok agama.

Adakah semua negara Islam menyukakan perkembangan ini?

Tidak semua.

Mesir turut serta dalam rundingan berbulan-bulan sebelum ini, tapi akhirnya tidak menyertai perjanjian akhir, walaupun Menteri Luar Türkiye berkata Kaherah masih mempunyai potensi untuk masuk apabila isu teknikal selesai.

Manakala, UAE p**a langsung tidak diajak, dan hubungannya dengan Riyadh serta Islamabad memang sedang tegang.

Iran sendiri berpecah reaksinya.

Ada pegawai yang mengalu-alukan perjanjian ini sebagai langkah ke arah kebergantungan diri dunia Islam, tetapi ada juga ahli parlimen yang skeptik dan berkata bahawa perjanjian di atas kertas tidak bawa sebarang jaminan keselamatan sebenar.

Dan sudah semestinya, Isrl pun tidak berdiam diri.

Netanyahu sudah umumkan gagasan pakatannya sendiri yang menghubungkan Isrl, India, Greece, dan Cyprus.

Bahkan, beliau juga secara terang-terangan menyebut kebangkitan pakatan tersebut yang digelar olehnya sebagai “pakatan Sunni radikal.”

Dan, Mecca Joint Defence Agreement ini mungkin baru permulaan.

Pegawai serantau sendiri menyebutkan bahawa kemungkinan pakatan ini berkembang untuk masukkan lebih banyak negara sebagai mekanisme keselamatan kolektif yang lebih luas.

Sama ada ia akan berjaya membentuk satu paksi kuasa dunia Islam yang benar-benar bersatu, atau sekadar simbol perpaduan yang rapuh di tengah ketegangan serantau yang masih membara, hanya masa yang akan tentukan.

Dan ini terus menjadi tanda tanya bahawa adakah kuasa Islam akan bangkit kembali, walaupun hanya pada satu sudut sahaja?

Untuk dapatkan jawapannya, anda boleh dapatkan buku GEOPOLITIK DUNIA ISLAM dengan segera!

Eksklusif hanya di The Patriots.

Link Shopee: https://s.shopee.com.my/70Hj557Ipl

Link Webstore: http://bit.ly/43x2VGQ

"Emas Boleh Menipu Mata, Tetapi Tidak Dapat Menipu Air: Kisah Neraca al-Khazini Lebih 900 Tahun Dahulu!"Oleh: Mazlan Sya...
15/08/2026

"Emas Boleh Menipu Mata, Tetapi Tidak Dapat Menipu Air: Kisah Neraca al-Khazini Lebih 900 Tahun Dahulu!"

Oleh: Mazlan Syafie

Kalaulah ada orang hulurkan sekeping jongkong emas di depan mata, siapa pun pasti akan ralit memandang warnanya yang kuning berkilau.

Bila diletakkan di atas tapak tangan, berat logam itu memang terasa cukup meyakinkan.

Hati siapa yang tidak seronok melihatnya. Tetapi orang zaman dahulu selalu ada satu kerisauan setiap kali memegang emas. Hakikatnya, kerisauan ini sama sahaja dengan kita pada hari ini.

Bagaimana kalau si pembuat emas itu menipu?

Bagaimana kalau dia mengambil logam yang lebih murah macam perak, lalu mencampurkannya ke dalam jongkong tersebut?

Masalahnya, emas tulen dan emas yang sudah bercampur perak ini rupanya hampir sama. Kilauan di luar cukup pandai menyembunyikan rahsianya di dalam.

Bila kita letakkan emas campuran itu di atas penimbang biasa di pasar, peniaga mahupun alat penimbang itu sendiri boleh tertipu.

Penimbang biasa cuma tahu membaca nilai berat.

Seratus gram emas yang bersih, dengan seratus gram emas yang dicampur perak, kedua-duanya akan menarik piring penimbang ke bawah dengan kekuatan yang sama.

Dacing akan memberikan bacaan berat yang serupa, dan kita pun p**ang ke rumah dengan hati yang lega.

Penimbang biasa tidak ada cara untuk menembusi dan melihat bahan sebenar di sebalik logam keras itu.

Kisah tentang masalah inilah yang membawa kita singgah ke Merv, sebuah kota perdagangan di Khorasan yang wujud lebih 900 tahun lalu.

Merv ketika itu sangat meriah dan berada dalam persekitaran pemerintahan Sultan Sanjar.

Di sinilah seorang sarjana bernama Abu al-Fath Abd al-Rahman al-Khazini tekun menabur bakti.

Sekitar tahun 1121 hingga 1122 Masihi, yang bersamaan dengan tahun 515 Hijrah, al-Khazini menyiapkan sebuah buku rujukan yang sangat berharga.

Buku tulisannya ini diberi judul "Kitab Mizan al-Hikma", yang membawa maksud Kitab Neraca Kebijaksanaan.

Al-Khazini tidaklah bermula dari kertas kosong. Dia meneliti ilmu tentang hukum air yang telah dibincangkan sejak zaman Archimedes lagi.

Dia menghimpunkan bacaan orang terdahulu, lalu memperhalusinya untuk mereka bentuk sebuah penimbang hidrostatik yang amat peka.

Cara untuk membina alat ini dan langkah penggunaannya dicatat dengan teliti satu persatu di dalam kitab tersebut.

Cara penimbang ini berfungsi sebenarnya sangat dekat dengan pengalaman kita sendiri.

Cuba ingat balik saat kita melangkah turun ke dalam kolam renang.

Apabila badan tenggelam ke paras dada, kita tiba-tiba berasa sangat ringan. Kita boleh melompat dengan mudah di dalam air.

Hal ini berlaku kerana air sentiasa menolak badan kita ke atas.

Daya tolakan ini p**a berkait rapat dengan jumlah air yang tersesar oleh objek yang tenggelam.

Konsepnya begini, semakin besar sesuatu objek itu masuk ke dalam air, semakin banyak air yang tersesar, dan semakin kuat air menolaknya ke atas.

Al-Khazini meminjam hukum semula jadi air ini untuk mencari jawapan pada kepingan emas tadi.

Mula-mula, emas yang diragui itu ditimbang di udara seperti biasa. Berat asalnya dicatat.

Selepas itu, emas yang sama ditimbang buat kali kedua. Cuma kali ini kepingan itu diturunkan perlahan-lahan sehingga tenggelam sepenuhnya ke dalam mangkuk berisi air.

Di sinilah air mula membuka cerita.

Emas tulen sifatnya sangat tumpat. Logam ini ibarat mempunyai saiz yang kecil tetapi isinya padat dan berat.

Perak p**a sifatnya berbeza. Untuk mendapatkan seratus gram perak, saiz ketulannya pasti lebih besar berbanding seratus gram emas.

Sekarang cuba bayangkan seketul emas seratus gram sudah dicampur dengan perak.

Walaupun beratnya di luar tetap seratus gram, campuran logam ini akan bersaiz sedikit lebih besar berbanding ketulan emas tulen.

Apabila bongkah campuran yang lebih besar ini masuk ke dalam air, ia akan menyesarkan jumlah cecair yang lebih banyak.

Air secara semula jadi akan bertindak balas. Ia menolak emas campuran itu ke atas dengan daya yang lebih kuat berbanding tolakan pada emas tulen.

Penimbang al-Khazini memang direka khusus untuk mengesan perbezaan kecil pada tolakan air ini.

Beza antara bacaan berat di luar dan di dalam air ini memberi petunjuk penting tentang tahap ketumpatan logam tersebut.

Jika kita sudah kenal pasti jenis logam apa yang dicampurkan sejak awal, angka bacaan dari air ini boleh membantu kita membuat anggaran tentang peratusan campurannya.

Kilauan emas memang boleh melekakan pandangan kita. Beratnya juga boleh melepasi ujian dacing di pasar.

Namun bila ia diserahkan kepada air, logam itu sukar untuk berbohong lagi. Tolakan air yang lembut itulah yang akan perlahan-lahan memberikan petunjuk melalui nilai ketumpatannya.

Jika kena dengan cara uji dan syaratnya, rahsia yang disembunyikan oleh kilauan emas itu akhirnya dapat dibaca dengan baik.

Di belakang setiap teknologi yang memudahkan kehidupan, ada manusia yang pernah memerhati masalah, menguji idea dan mencari jalan penyelesaian.

"Legasi Teknologi Tamadun Islam" karya Helmi Effendy membawa pembaca melihat bagaimana ilmu, pemerhatian dan daya cipta dalam tamadun Islam diterjemahkan menjadi alat, sistem serta teknologi yang membantu membentuk kehidupan manusia.

Buku ini kini ditawarkan pada harga pra-tempah RM23 sehingga 9 Ogos 2026. Jemputlah meneroka kisah-kisah teknologi lain dengan mendapatkannya melalui pautan di bawah.

https://s.shopee.com.my/903ssbqbIb

Address

No 23, Jalan Seri Rejang 3, Pusat Industri Sri Rampai, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, Federal Territory Of Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
53300

Opening Hours

Monday 10:00 - 18:00
Tuesday 10:00 - 18:00
Wednesday 10:00 - 18:00
Thursday 10:00 - 18:00
Friday 10:00 - 18:00

Telephone

+60195812791

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when The Patriots posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to The Patriots:

Share

Category