17/02/2025
KOTA KINABALU: Kesilapan pemain menyebabkan Sri Pahang FC gagal mencipta kemenangan meskipun sudah hampir ke arah itu ketika berdepan Sabah FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Situasi itu mengecewakan pengendalinya, Fandi Ahmad, yang jelas kesal apabila kelebihan jaringan diperolehi pasukannya selepas babak pertama punah akibat kesilapan pemainnya pada separuh masa kedua.
"Kita kecewa sebab kita datang cuba untuk mendapatkan mata penuh, tapi halangan kita memang sukar terutama permainan pada babak kedua.
"Saya kesal kerana seharusnya kita dapat menang, tapi kita lakukan kesilapan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Sri Pahang berjaya mendapat kelebihan jaringan 2-1 selepas tamat babak pertama, namun berubah kepada seri pada separuh masa kedua selepas Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-59.
Gol penyamaan Sabah itu diperolehi hasil sepakan penalti kedua Darren Lok yang diberikan pengadil selepas berlaku kekasaran terhadap pemain Sabah di kawasan kotak penalti Sri Pahang.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Fandi menyimpulkan secara keseluruhan tahap permainan anak buahnya semakin baik.
"Kita sebenarnya ingin bangkitkan permainan kita dalam Liga Malaysia dan mudah-mudahan kita dapat tingkatkan lagi ke tahap yang lebih baik.
"Sementara ini posisi kita masih kurang baik dan saya rasa pemainpun harus bertanggungjawab dengan permainan hari ini," katanya.
Sepanjang perlawanan malam tadi, Fandi berkata pasukannya banyak mendominasi babak pertama permainan sebelum merosot pada babak kedua. Sumber - Berita Harian Online
news #
ohmediaviral