30/10/2024
MEMAHAMI HADIS KONSTANTINOPEL
Konstantinopel adalah sebuah Kota Rom yang didirikan oleh pendiri Empayar Byzantine, lokasinya kini di Istanbul, Turki.
Tercatat dalam sejarah bahawa Sultan Muhamad al-Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadilawal 857 hijrah.
Terdapat sebuah hadis yang masyhur dikaitkan dengan peristiwa tersebut dengan Sultan Muhamad al-Fateh, iaitu hadis:
لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير ذلك الأمير و لنعم الجيش ذلك الجيش
Maksudnya: “Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...”
Hadis ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim, Tarikh al-Kabir dan Mu'jam al-Kabir al-Tabrani dan lain-lain.
Kedudukan hadis ini adalah dhaif menurut Syuib al-Arnauth, al-Albani dan Syeikh Mashhūr bin Ḥasan al-Salmān.
Hadis ini dikatakan dhaif kerana ada perawi majhul (tidak dikenali) dalam rantaian sanad, iaitu Abdullah bin Bisyr al-Ghanawi.
Hadis Konstantinopel tersebut bukan sahaja didhaifkan oleh sebahagian sarjana, bahkan ia bercanggah dengan hadis-hadis yang lain jika ia dikaitkan dengan Sultan Muhamad al-Fateh.
Ini kerana hadis-hadis pembukaan Konstantinopel dikaitkan dengan dekatnya peristiwa kiamat. Hadis-hadis pembukaan kota Konstantinopel seperti berikut:
فَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ مَعَ قِيَامِ السَّاعَةِ
Maksudnya: "Penaklukan Kostantinopel bersamaan dengan terjadinya kiamat." (HR Tirmidhi: 2165)
وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ
Maksudnya: "...terjadinya peperangan besar adalah tanda dari pembukaan kota Konstantinopel, dan pembukaan kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal." (HR Abu Daud: 3742, Ahmad: 21015 & 21105)
الْمَلْحَمَةُ الْكُبْرَى وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ وَخُرُوجُ الدَّجَّالِ فِي سَبْعَةِ أَشْهُرٍ
Maksudnya: "Peperangan besar, pembukaan Konstantinopel dan keluarnya Dajjal terjadi selama tujuh bulan." (HR Tirmidhi: 2164, Abu Daud: 3743, Ibn al-Majah: 4082, 4083 & Ahmad: 21034)
..فَيَفْتَتِحُونَ قُسْطَنْطِينِيَّةَ فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْغَنَائِمَ قَدْ عَلَّقُوا سُيُوفَهُمْ بِالزَّيْتُونِ إِذْ صَاحَ فِيهِمْ الشَّيْطَانُ إِنَّ الْمَسِيحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِي أَهْلِيكُمْ فَيَخْرُجُونَ وَذَلِكَ بَاطِلٌ فَإِذَا جَاءُوا الشَّامَ خَرَجَ فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّونَ لِلْقِتَالِ يُسَرُّونَ الصُّفُوفَ إِذْ أُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ...
Maksudnya: "...selanjutnya mereka menakluk Kostantinopel. Dan ketika mereka sedang membahagi-bahagi harta rampasan perang dan menggantungkan pedang-pedang mereka pada pohon zaitun, tiba-tiba syaitan berteriak kepada mereka 'Sesungguhnya Al-Masih telah muncul di tengah-tengah keluarga kalian, ' mereka pun berhamburan keluar, dan ternyata itu hanyalah satu pembohongan. Ketika mereka mendatangi Syam, ia muncul. Dan ketika mereka sedang mempersiapkan peperangan dan sedang merapikan barisan, tiba-tiba datanglah waktu solat, dan turunlah Nabi Isa bin Maryam..." (HR Muslim: 5157)
Maka, semua hadis ini menyatakan pembukaan Kota Kostantinopel yang sebenar terjadi apabila hampir kiamat, bukan ratusan tahun sebelum kiamat.
Jadi, yang dimaksudkan sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin yang memimpin tentera yang membuka kota Kostantinopel apabila hampir-hampir kiamat kelak.
Selan itu, jika hendak kaitkan pembukaan Kostantinopel dengan Sultan Muhamad al-Fateh, maka tidak boleh dijadikan pujian ketenteraan sebagai membenarkan kefahaman tersebut.
Ini kerana, Rasulullah S.A.W juga pernah memuji Najasyi.
إِنَّ بِأَرْضِ الْحَبَشَةِ مَلِكًا لَا يُظْلَمُ أَحَدٌ عِنْدَهُ، فَالْحِقُوا بِبِلَادِهِ، حَتَّى يَجْعَلَ اللَّهُ لَكُمْ فَرَجًا وَمَخْرَجًا مِمَّا أَنْتُمْ فِيهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya di bumi Habsyah itu ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa pun di bawahnya, sehingga Allah menjadikan bagi kalian kesenangan dan jalan keluar daripada keadaan kalian sekarang.” (HR Sunan al-Kubra al-Baihaqi)
Hadis ini disabdakan semasa Najasyi beragama Kristian. Apakah bermaksud Kristian agama yang benar kerana Nabi puji Najasyi? Tentu tidak, kerana pujian kepimpinan dan membenarkan akidah adalah dua hal yang berbeza.
Kita boleh simpulkan bahawa, tidak tepat mengaitkan hadis pembukaan kota Kostantinopel dengan Sultan Muhamad al-Fateh, kerana sanadnya didhaifkan sebahagian sarjana.
Selain itu, matan hadisnya turut bercanggah dengan riwayat-riwayat lain, yang menjelaskan bahawa pembukaan kota Kostantinopel terjadi seiring dengan berlakunya kiamat, bukan ratusan tahun sebelum itu.
Jika diandaikan ia sahih dan tepat sekalipun, pujian kepada individu tidak boleh dipukal dengan kefahaman atau aliran tertentu.
Janganlah hidup tak mancung, p**i tersorong-sorong menempek pada hadis Ahad untuk sandaran akidah yang bersalahan dengan usul akidah itu sendiri, itupun dhaif p**a, bahkan terpesong dari kefahaman teks.
Wallahualam.
Editor: Loha
27 Rabiulakhir 1446H