29/06/2026
JENAZAH
Fardu kifayah bukan bermaksud orang lain akan urus, kita lepas tangan sahaja.
Fardu kifayah bermaksud seluruh masyarakat berkongsi tanggungjawab supaya urusan jenazah berjalan dengan sempurna.
Baru-baru ini tular kisah satu urusan pengebumian yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ada yang marah, ada yang bersimpati, ada yang menyalahkan pihak tertentu, dan ada juga yang mempertahankan prosedur yang dilaksanakan.
Saya tidak mahu ulas tentang siapa yang betul atau siapa yang salah. Biarlah perkara itu disiasat dan diputuskan oleh pihak yang berkuasa.
Tetapi sebagai masyarakat, ada beberapa pengajaran yang sangat besar yang boleh kita ambil daripada peristiwa ini.
Pengajaran yang mungkin dapat mengelakkan perkara sama daripada berlaku kepada keluarga kita suatu hari nanti.
1. Kenal masjid kita hari ini. Jangan tunggu berlaku kematian baru kenal siapa imam, siapa nazir, siapa yang kita nak hubungi.
Ramai antara kita tinggal bertahun-tahun di sesuatu kawasan, tetapi tidak pernah mendaftar sebagai ahli kariah. Tidak mengenali AJK atau biro pengurusan jenazah.
Apabila berlaku kematian, barulah sibuk mencari nombor telefon masjid dan bertanya apa yang perlu dilakukan.
Sedangkan pengurusan kematian menjadi lebih mudah apabila hubungan dengan masjid telah terjalin lebih awal.
2. Daftarkan keluarga sebagai ahli kariah masjid tidak kira berapa usia mereka.
Ramai menganggap daftar kariah hanya penting untuk orang tua.
Sebenarnya ia membantu pihak masjid mengenali ahli kariah, mengesahkan alamat, memudahkan bantuan kebajikan apabila diperlukan dan mempercepatkan urusan pengurusan jenazah bila berlaku kematian.
3. Dokumentasi bukan satu birokrasi, tetapi peraturan yang ditetapkan di bawah perlembagaan.
Apabila berlaku kematian, setiap minit terasa sangat panjang.
Namun dalam keadaan emosi seperti itu, kita juga perlu memahami mengapa prosedur diwujudkan.
Permit Mengubur dan dokumen pengebumian bukan sekadar kertas biasa untuk rujukan.
Ia melindungi semua pihak, terutama waris keluarga.
Ia memastikan identiti jenazah disahkan, rekod pengebumian tepat, tanah perkuburan digunakan dengan betul dan mengelakkan penyalahgunaan dokumen untuk urusan yang tidak sepatutnya.
Prosedur yang baik bukan bertujuan menyusahkan, tetapi ia melindungi amanah dan menjaga kepentingan semua yang terlibat, bukan waris keluarga sahaja.
Mungkin sesuatu dokumen itu tidak penting bagi masjid, tetapi amat penting bagi waris.
Mungkin sesuatu peraturan itu tidak memberi makna pada waris, tetapi amat penting bagi masjid apabila diaudit.
4. Jangan mudah menghukum sebelum fakta lengkap.
Era media sosial menjadikan sesuatu cerita tersebar dalam beberapa minit.
Tetapi kebenaran kadang-kadang mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk diketahui.
Islam sendiri mengajar kita prinsip tabayyun.
Dengar dahulu daripada kedua-dua belah pihak sebelum membuat kesimpulan yang mungkin mengheret kita pada fitnah besar.
Kadang-kadang perkara yang kita lihat hanya sebahagian daripada keseluruhan cerita.
5. Setiap keluarga wajar mempunyai pelan pengurusan kematian.
Kita merancang pendidikan anak sejak anak masuk sekolah tadika.
Tetapi berapa ramai yang pernah berbincang dengan keluarga tentang apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian?
Kita merancang menyimpan kain batik lepas, tudung nipis, minyak wangi dirumah sekiranya berlaku apa-apa kematian.
Tapi adakah kita simpan nombor telefon ajk pengurusan jenazah di masjid kariah? Adakah ahli keluarga kita tahu prosedurnya.
Adakah ahli keluarga tahu di mana dokumen penting disimpan, apabila berlaku kematian. Adakah kita sendiri awal-awal sediakan salinan kad pengenalan supaya waris kita tidak susah-susah mencari kedai fotostat nanti.
Persediaan bukan mengundang musibah. Ia memudahkan orang yang kita sayangi apabila kita tiada.
6. Pengurusan jenazah bukan hanya urusan masjid, tetapi kerja satu pasukan.
Apabila ada kematian, ia akan melibatkan pegawai perubatan atau hospital untuk sahkan kematian.
Ia juga melibatkan polis, JPN, pengurusan jenazah, masjid, penjaga tanah perkuburan dan waris yang tinggal dalam kesedihan.
Jika salah satu bahagian tidak berkomunikasi dengan baik, keseluruhan proses boleh terjejas.
Sebab itu komunikasi yang jelas sama pentingnya dengan prosedur yang betul.
7. Empati dan prosedur mesti berjalan seiring pada semua yang terlibat.
Waris sedang menghadapi kehilangan orang yang disayangi.
Pada masa yang sama, petugas masjid dan penjaga tanah perkuburan memikul amanah untuk memastikan semua urusan mengikut prosedur.
Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang perlu dihormati.
Yang diperlukan ialah komunikasi yang baik, penjelasan yang jelas dan layanan yang penuh ihsan.
Pada saat seperti itu, setiap perkataan dan setiap tindakan akan kekal dalam ingatan waris sepanjang hayat.
----------------
Pihak masjid harus menjadikan pengalaman menguruskan jenazah menjadi satu kenangan baik pada waris mereka.
Peristiwa yang berlaku ini menjadi peringatan kepada kita semua.
Bukan untuk mencari siapa yang kalah atau siapa yang menang.
Tetapi untuk memastikan apabila tiba giliran keluarga kita diuji nanti, semuanya dipersiapkan dengan tenang.
Dalam kehidupan bermasyarakat, kematian bukan sekadar mengajar kita bagaimana menguruskan jenazah.
Ia mengajar kita bagaimana membina sebuah masyarakat yang lebih bersedia, lebih berilmu dan lebih berbelas ihsan.
Teruskan mendidik ahli keluarga kita supaya bila tiba masa kita kelak, urusan jenazah dapat dijalankan dengan mudah.
Mudah kepada jenazah.
Mudah kepada waris keluarga.
Mudah kepada masjid yang diberi amanah untuk menguruskannya.
Terimakasih.
✍️
Mahanom Mohammad