29/08/2026
"SEBELUM JADI MENTERI, TUN SAMY VELLU PERNAH PANJAT KEDUTAAN INDONESIA?"
Oleh: Azizul Farhan
“Ini semua kerja orang gila lah. Orang gila lah. Sekarang banyak orang sudah gila.”
Ayat tersebut keluar daripada mulut mendiang Tun S. Samy Vellu pada 2008 ketika mengulas pembunuhan ADUN Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy. Rakaman itu kemudian hidup sebagai salah satu meme politik Malaysia yang paling dikenali.
Tetapi jauh sebelum Samy Vellu terkenal sebagai Menteri Kerja Raya, Presiden MIC ataupun dengan rakaman “orang gila” tadi, beliau sendiri pernah jadi "orang gila" apabila terlibat dalam satu kejadian yang kalau dibuat pada hari ini mungkin terus mencetuskan krisis diplomatik.
Samy Vellu pernah memanjat bangunan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Ketika itu beliau baru berusia 27 tahun.
Kejadian tersebut berlaku pada 17 September 1963, sehari selepas Malaysia dibentuk melalui penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Hubungan Kuala Lumpur dengan Jakarta ketika itu memang sedang panas. Indonesia di bawah Presiden Soekarno menentang pembentukan Malaysia yang dianggap sebagai projek neo-kolonial British. Konfrontasi sudah bermula lebih awal pada 1963 dan ketegangan semakin memuncak apabila Malaysia akhirnya ditubuhkan pada 16 September.
Pada hari pengisytiharan Malaysia, ribuan penunjuk perasaan menyerang Kedutaan Malaysia di Jakarta. Tingkap dipecahkan, manakala Kedutaan British turut diserbu. Kekacauan serupa berlaku di Medan apabila konsulat Malaysia dan British menjadi sasaran.
Berita itu sampai ke Kuala Lumpur.
Keesokan harinya, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan p**a berkumpul di hadapan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang. Mereka membaling batu ke arah bangunan sebelum lambang Garuda Pancasila yang terpasang pada kedutaan diturunkan.
Di sinilah muncul Samy Vellu bersama seorang lagi anak muda yang kemudian turut menjadi tokoh politik negara, Tan Sri Khalid Yunus.
Menariknya, Khalid pada asalnya berada di situ sebagai wartawan Utusan Melayu untuk membuat liputan tunjuk perasaan tersebut. Tetapi menurut Khalid, suasana ketika itu begitu panas sehingga beliau sendiri akhirnya turut memanjat bangunan kedutaan.
Ketika Khalid sedang memanjat, seorang pemuda India yang ketika itu langsung tidak dikenalinya turut naik bersama.
Pemuda tersebut ialah Samy Vellu.
Khalid kemudian mengesahkan bahawa lelaki dalam foto terkenal yang bersamanya ketika menurunkan simbol Pancasila dan menaikkan bendera Malaysia itu memang Samy Vellu. Mereka hanya bertemu semula beberapa tahun kemudian apabila masing-masing sudah terlibat dalam politik.
Cerita itu belum habis.
Lambang Garuda yang diturunkan tadi kemudian dibawa menggunakan skuter dari Jalan Ampang menuju ke kediaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Jalan Datuk Onn.
Apabila sampai, kump**an tersebut mahu Tunku memijak lambang Indonesia itu.
Tunku enggan.
Menurut ingatan Khalid, mereka akhirnya mengangkat Tunku dan meletakkannya di atas lambang tersebut. Khalid mendakwa ketika itu Tunku kelihatan sedih sambil berkata,
“Awatlah hang buat aku macam ini.”
Bahagian cerita ini bukan datang daripada ingatan Khalid semata-mata. Rekod diplomatik Australia mengenai pembentukan Malaysia turut mencatatkan bahawa penunjuk perasaan membawa lambang Garuda ke rumah Tunku. Ketika Tunku cuba memujuk mereka supaya bersurai secara aman, beliau diangkat dan diletakkan di atas lambang tersebut.
Peristiwa itu berlaku ketika hubungan diplomatik kedua-dua negara memang sedang runtuh. Pada 17 September, Tunku mengumumkan pemutusan hubungan dengan Indonesia dan Filipina. Di Jakarta p**a, cerita mengenai Tunku “memijak” Garuda dimainkan besar oleh media Indonesia sehingga menjadi satu lagi bahan propaganda dalam Konfrontasi.
Sebab itu gambar Samy Vellu dan Khalid di kedutaan tersebut cukup menarik. Ia merakam sisi Konfrontasi yang jarang kita bicarakan, ketika kemarahan antara dua negara turut melimpah ke jalan raya dan melibatkan rakyat biasa.
Samy Vellu kemudian meneruskan perjalanan politiknya. Beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput pada 1974, Presiden MIC dari 1981 hingga 2010 dan memegang beberapa jawatan Kabinet, terutama sebagai Menteri Kerja Raya. Pada 2017, beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun.
Kira kaw-kaw jugak semangat patriotik Samu Vellu ni. Berkobar-kobar betul. Tapi korang terfikir tak kenapa Ganyang Malaysia boleh berlaku?
Kenapa rakyat Indonesia dahulu ikut sahaja seruan Sukarno untuk Ganyang Malaysia? Jawapan yang lagi detail korang boleh dapatkan di dalam buku terbaru Patriots iaitu KONFRONTASI: GANYANG MALAYSIA yang dijual secara pra-tempah sehingga 15 September ini!
Beli KONFRANTASI sahaja: https://s.shopee.com.my/6VNLNzCu7W
Atau dapatkan secara KOMBO bersama buku PERANG DUNIA PERTAMA!
Eksklusif hanya di The Patriots.
https://s.shopee.com.my/gPYRT0R8t
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
https://youtube.com/
Media Empire's | MediaEmpire FM | PALESTIN BERDAKWAH | GALERI MELAYU