27/08/2026
RM250 Juta Bangunkan Kompleks Agro Nanyan, 300 Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU: Projek pembangunan semula Besut Setiu Agropolitan (BSA) bakal membuka lembaran baharu sektor agromakanan Terengganu menerusi pelaburan RM250 juta bagi membangunkan Kompleks Agro Nanyan di Mukim Caluk, Setiu.
Projek seluas 207.40 hektar itu digerakkan oleh TW Agro Dinamilk Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), bersama Nanyan Holdings Sdn. Bhd.
Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof berkata, pembangunan berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada penternakan, malah dirancang sebagai ekosistem agromakanan bersepadu bagi memperkukuh rantaian bekalan dan keterjaminan makanan negeri.
Menurutnya, kompleks itu bakal menempatkan aktiviti penternakan serta penanaman napier, selain dilengkapi rumah penyembelihan moden berskala industri dan kemudahan pemprosesan produk makanan sejuk beku.
Projek ini dijangka akan mewujudkan 300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara LTAWNT, TW Agro Dinamilk dan Nanyan Holdings bagi pembangunan Hub Bersepadu Agromakanan dan Penternakan di Kompleks Agro Nanyan BSA, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis berkenaan turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datoโ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Nor Azam berkata pembangunan kompleks itu akan dilaksanakan melalui empat fasa, bermula dengan pengaktifan aset sedia ada sebelum diperluaskan kepada pengeluaran, pemprosesan dan pasaran.
Fasa pertama - ACTIVE memberi tumpuan kepada pengoperasian semula infrastruktur sedia ada, memulakan aktiviti pengeluaran serta perdagangan dan mewujudkan peluang ekonomi baharu, dengan sasaran pengeluaran ternakan RM40 juta.
Fasa kedua - SCALE p**a menyaksikan kapasiti penternakan dan agromakanan diperluaskan dengan sasaran RM55 juta, selain membabitkan petani, penternak, koperasi, usahawan dan komuniti luar bandar.
Seterusnya, Fasa ketiga - ADD VALUE dengan sasaran RM95 juta akan memberi fokus kepada industri hiliran seperti rumah penyembelihan moden, kemudahan pemprosesan, makanan sejuk beku, rantaian sejuk, logistik dan pengukuhan ekosistem halal.
Manakala Fasa keempat - CONNECT menyasarkan RM60 juta menerusi peluasan akses pasaran domestik, nasional dan serantau, sekali gus mengubah kompleks berkenaan daripada sekadar pusat pengeluaran kepada platform rantaian bekalan dan perdagangan agromakanan.
Dalam pada itu, projek berkenaan turut mendapat khidmat nasihat serta sokongan teknikal daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya dalam penghasilan makanan ternakan bernutrisi tinggi serta pemindahan ilmu dan teknologi.
Kerjasama strategik dengan FELCRA Food Industries Sdn. Bhd. turut dirancang bagi melengkapkan ekosistem pembangunan kompleks berkenaan.
Menurut Nor Azam, melalui perancangan bersepadu itu, Terengganu disasarkan muncul sebagai hab pengeluaran daging ruminan utama yang kompetitif, berdaya saing dan lestari.
Jangan lupa follow Terengganu Darul Iman
Follow IG Terengganu 360
Subscribe Youtube Terengganu 360