27/10/2025
81 PASUKAN WARNAI PIALA SKILLA EMPIRE
KOTA BHARU, 27 Oktober – Suasana di Kopa Arena USM Kelantan minggu ini cukup meriah apabila berlangsungnya Kejohanan Bola Sepak Tunas Harapan Kebangsaan Piala Skilla Empire, yang julung kali diadakan di venue ini.
Sebanyak 81 pasukan dari seluruh negara turun beraksi dalam lima kategori umur Bawah 8, 9, 10, 12 dan 14 tahun. Antara negeri yang turut mengambil bahagian termasuk Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Terengganu, menjadikan kejohanan ini antara yang terbesar pernah diadakan di Kelantan bagi peringkat akar umbi (grassroots).
Menurut Saleh Hassan, 55 tahun, penganjuran acara seperti ini wajar diteruskan kerana memberi ruang kepada bakat muda untuk menyerlah di peringkat kebangsaan.
“Acara grassroots ini penting untuk mencungkil potensi anak-anak muda. Mereka inilah harapan masa depan bola sepak negara,” katanya.
Sementara itu, bekas pertahanan Kelantan FA yang juga Pengurus Kopa Arena USM Kelantan, Daudsu Jamaludin, berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan luar biasa yang diterima.
“Walaupun pertama kali acara seperti ini berlangsung dan masih ada kekurangan, kami akan terus baiki. Pihak Kopa Arena Kelantan juga bersetuju untuk menganjurkan acara seperti ini lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat antara pasukan muda, tetapi juga membuktikan bahawa Kelantan kini muncul sebagai salah satu pusat pembangunan bola sepak akar umbi yang semakin aktif di Malaysia.