09/07/2026
Ahli Geng 24 Hung Hung didakwa miliki senjata api, 120 peluru tanpa permit
KUCHING (9 Julai 2026): Seorang lelaki yang didakwa yang mempunyai kaitan dengan geng 24 Hung Hung mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.
Daripada tujuh pertuduhan itu, satu membabitkan pemilikan senjata api tanpa kebenaran yang sah, manakala enam lagi berkaitan pemilikan 120 butir peluru tanpa lesen atau permit.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh berusia 40 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Musyida Abd Halim atas pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali sekiranya tertuduh didapati bersalah.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh dihadapkan secara berasingan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali dan Majistret Ling Hui Chuan bagi enam pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 120 butir peluru tanpa permit atau lesen yang sah dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Durian Burung, Taman Daya, kira-kira jam 2.30 pagi pada 15 April 2026.
Jika sabit kesalahan, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan 6 Ogos 2026 sebagai tarikh pengurusan kes, manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi pertuduhan memiliki senjata api.
Bagi tiga pertuduhan yang didengar di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan dan tarikh pengurusan kes turut ditetapkan pada 6 Ogos 2026.
Dalam prosiding berasingan, Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali membenarkan jaminan RM9,000 berserta dua penjamin bagi tiga lagi pertuduhan, selain menetapkan 23 Julai 2026 untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, Afiq Safly Nor Kazly dan Marvind Kaliyani, manakala pembelaan diwakili peguam Daniel Ling bersama Vanessa Yii. -- News Aritok