08/11/2025
KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine bernilai RM572 dalam satu serbuan di Kampung Rampangi, di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 3.15 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Santubong bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui 14 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.20 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan lanjut juga menunjukkan lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelas Alexson, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika disabitkan kesalahan.
Suspek kini direman selama empat hari bermula 9 hingga 12 November bagi membantu siasatan.