29/12/2025
"Papa, kakak nak masuk MRSM. Kakak nak belajar hidup berdikari di asrama." Itulah permintaan anak sulung saya ketika dia baru berusia 12 tahun, sejurus selepas keputusan UPSR diumumkan.
Jawapan saya ringkas dan tegas, "Tidak boleh."
Walaupun dia merayu dan menyatakan bahawa keputusannya cemerlang serta sangat layak untuk ke sana, saya tetap dengan pendirian saya. Biarlah dia tidak bersetuju, biarlah dia berkecil hati, keputusan saya tetap tidak berubah. Akhirnya, dia menyambung pelajaran di sekolah harian biasa.
Walaupun sekolah itu mempunyai kemudahan asrama, saya tetap tidak mengizinkannya tinggal di sana. Biarlah saya susah payah berulang-alik menghantar dan menjemputnya setiap hari, saya lebih rela begitu.
Masa berlalu, tamatlah peperiksaan SPM. Kakak datang bertanya lagi, "Papa, selepas ini bolehkah kakak sambung belajar dan tinggal jauh dari papa?"
Kali ini saya menjawab, "Boleh."
Dia terpinga-pinga lalu bertanya, "Kenapa dulu papa tak izin kakak ke MRSM? Di sana semuanya terjaga."
Saya memandangnya dan bertanya kembali, "Habis itu, selama ini papa tak jaga kakak ke?" Dia terdiam. Mungkin saat itu dia mula memahami sesuatu.
Beberapa hari kemudian, saya memanggilnya duduk bersama. Saya rasa sudah tiba masanya dia tahu alasan sebenar yang saya simpan bertahun-tahun.
"Kakak, dulu papa tak cerita sebab papa tahu kakak takkan faham. Sekarang kakak sudah besar. Kakak, papa mahu kakak membesar di depan mata papa. Takdirnya jika papa izinkan kakak pergi ketika umur 12 tahun, bermakna papa hanya berpeluang melihat kakak membesar di depan mata setakat umur itu sahaja."
Saya menyambung lagi, "Selepas umur 13 tahun, kakak akan mula hidup jauh. Tamat SPM, kakak sudah 17 tahun. Kemudian kakak sambung Diploma sehingga umur 21, dan ijazah sehingga umur 24 tahun. Selepas tamat belajar, kakak akan bekerja, mungkin juga jauh dari papa. Kemudian kakak akan berumah tangga. Jika suami kakak orang jauh, papa terpaksa melepaskan kakak sepenuhnya. Kita mungkin hanya mampu bertemu di panggilan video, tapi itu tidak sama."
"Bagi papa, kakak tetap anak kecil papa. Papa sentiasa mahu memeluk dan mencium kakak. Papa masih mahu memegang tangan kakak setiap kali kita melintas jalan. Sebab itulah papa 'kedekut' untuk melepaskan kakak selepas UPSR dulu. Biarlah orang kata papa kolot atau cara bapa lain berbeza, papa ada cara papa sendiri."
Kakak mengangguk perlahan. Saya tahu dia mula mengerti.
Kini, masanya telah tiba. Kakak berjaya melanjutkan pelajaran ke UKM. Memang jauh dari rumah, tetapi kali ini saya melepaskannya dengan hati yang terbuka. Saya sudah bersedia. Saya sudah mendapat "bonus" masa selama 17 tahun untuk melihatnya membesar di depan mata saya setiap hari.
Kakak sempat bertanya, "Kenapa masa papa hantar kakak ke UKM tempoh hari, papa tak menangis?"
Saya tersenyum hiba. "Sebab papa sudah lama bersedia untuk saat ini. Di luar, papa mungkin nampak kuat, tapi di dalam hati...hanya Tuhan yang tahu betapa beratnya hati seorang bapa untuk melepaskan anaknya pergi."