08/10/2023
KUCHING-- Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui selamat di dalam tandas surau selepas dilaporkan hilang di dalam hutan berdekatan rumahnya di Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu oleh ibunya pada jam 1.12 pagi.
Menurut ibu mangsa, berlaku perselisihan faham antara mereka menyebabkan Danish Mohd Abdullah merajuk dan bertindak melarikan diri ke dalam hutan.
Komander Operasi, Rahman Abang Deni berkata, mangsa akhirnya ditemui selamat pada jam 2.48 pagi di dalam tandas surau kampung berkenaan.
Katanya, mangsa rupa-rupanya bersembunyi dan menguncikan diri di dalam tandas itu.
Pihak bomba berjaya memujuk mangsa dan Danish diserahkan kepada keluarganya susulan itu.
Terdahulu, anggota penyelamat telah melakukan pencarian mangsa sejauh 500 meter di kawasan belukar dan surau terbabit dari jam 1.13 pagi.