
29/07/2025
Projek pembinaan kolam renang bertaraf Olimpik di Jalan Betek kini mencapai 43% kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, projek berimpak tinggi ini dibangunkan dengan peruntukan RM3.6 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan merupakan kemudahan baharu yang pertama seumpamanya di kawasan tersebut.
“Kita berterima kasih kepada pihak MBSP atas keprihatinan dan sokongan dalam pembangunan semula kawasan ini,” katanya ketika melakukan lawatan tapak pada 25 Julai lalu.
Kolam renang ini bukan sahaja dibina untuk kegunaan rekreasi orang awam, tetapi juga sebagai pusat pembangunan sukan khususnya dalam acara renang. Menurut beliau, Pulau Pinang telah melahirkan ramai atlet renang berprestasi tinggi dan fasiliti ini diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu.
Daniel turut menyentuh inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyediakan kelas renang percuma bagi mengatasi isu lemas melibatkan kanak-kanak, khususnya di kawasan berisiko banjir. Katanya, kolam ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut, termasuk sesi latihan dan pembelajaran pelajar dari kawasan rendah.
Kolam renang ini dibina mengikut piawaian Olimpik walaupun tidak mempunyai kolam terjun (diving pool), dan pembinaan kini berjalan satu peratus lebih awal daripada jadual asal.
“Projek ini bermula pada 1 Februari lalu dan dijangka dibuka kepada umum menjelang April 2026,” katanya. Tambah beliau, kadar kemasukan masih dalam pertimbangan, namun kadar semasa bagi kolam renang awam adalah RM3 setiap sesi.