09/09/2025
Anak kelahiran Pekan, Pahang.
ISMAIL CONTOH WIRA MERAH SEJATI
PPjB Ismail bin Abdul Ghani, anak kelahiran Pekan, Pahang, telah memulakan perkhidmatan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1 Februari 1991. Kini bertugas di Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Ibu Pejabat, JBPM. Sepanjang lebih 34 tahun khidmat bakti, beliau telah berkhidmat di pelbagai lokasi strategik termasuk balai-balai bomba, Akademi Bomba, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, serta memegang pelbagai portfolio mencabar dan berimpak tinggi.
Beliau merupakan antara anggota perintis pasukan khas negara, Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) pada tahun 1995, dan kini mengetuai pasukan khas JBPM iaitu Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM). Di bawah kepimpinannya, pasukan ini kekal relevan dan diyakini dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa negara.
Seorang pegawai yang dikenali berintegriti, berdedikasi, serta menitikberatkan kebajikan anggota, PPjB Ismail menjadi teladan dalam aspek kepimpinan, kecergasan, serta kesiapsiagaan. Beliau juga sentiasa bersedia menggadaikan nyawa demi keselamatan masyarakat, kelestarian alam sekitar, dan keharmonian negara.
Beliau pernah terlibat secara langsung dalam operasi besar seperti Highland Tower (1993), Ribut Tropika Greg, Sabah (1996), Banjir Besar Kelantan (2014), Gempa Bumi Gunung Kinabalu (2015), Tanah Runtuh Batangkali (2022), Tanah Jerlus Jalan Masjid India (2024) serta menjadi Timbalan Komander Misi Kemanusiaan Gempa Bumi di Turki (2023). Kepakaran beliau turut diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk di Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan Singapura.
Atas jasa bakti beliau, beliau telah dianugerahkan pelbagai penghormatan termasuk Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (AAP), Ahli Mangku Negara (AMN), Bintang Wira Merah serta Pingat Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali.
Dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang, PPjB Ismail bin Abdul Ghani telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW, Kategori Wira Negara sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M.
Kementerian Komunikasi Jabatan Perdana Menteri Jabatan Penerangan Malaysia Anwar Ibrahim Nga Kor Ming 倪可敏 Shamsul Azri bin Abu Bakar