07/08/2026
Mohon jangan memandai-mandai membuat cerita jika tidak mengetahui perkara sebenar. Apabila menerima berita pemergian seseorang, perkara pertama yang sepatutnya kita lakukan ialah mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, bukannya terus membuat andaian atau mempertikaikan tentang kecuaian.
Untuk makluman, tiga anggota polis ini bukan sedang mengambil kelapa ketika waktu bertugas. Ketika kejadian berlaku, waktu kerja mereka telah pun tamat. Difahamkan, selepas selesai mengait kelapa menggunakan galah besi yang dipinjam daripada rumah jiran, mendiang Koperal Chiu Teck Siong sedang mengalihkan galah tersebut. Ketika itu beliau dipercayai hilang keseimbangan, dipercayai disebabkan keadaan tanah yang sedikit becak serta galah besi yang panjang dan berat.
Malangnya, galah besi itu terkena kabel elektrik utama lalu arus mengalir dan menyebabkan mendiang Chiu terkena renjatan. Pada waktu itu, Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Allahyarham Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee yang berada di lokasi dipercayai bertindak pantas untuk membantu dalam keadaan panik dan dipenuhi adrenalin. Namun tanpa disangka, kedua-duanya turut terkena renjatan dan menjadi mangsa.
Sebagai pengajaran buat kita semua, jika ternampak kejadian seperti ini, jangan sesekali terus menyentuh atau cuba menarik mangsa selagi punca bekalan elektrik belum diputuskan. Arus elektrik boleh mengalir melalui tubuh mangsa dan sesiapa yang cuba membantu juga berisiko menjadi mangsa. Perkara paling penting ialah segera menghubungi pihak bomba, Sabah Electricity atau talian kecemasan 999, jauhkan orang ramai daripada kawasan tersebut, dan tunggu pasukan penyelamat yang mempunyai peralatan serta latihan yang sesuai.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Allahyarham Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, serta mendiang Koperal Chiu Teck Siong. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah.
Sumber : Jeijie Lin