13/01/2026
Hannah Yeoh menang saman, Musa diarah bayar RM250,000
MAHKAMAH Rayuan memutuskan untuk memihak kepada Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dalam kes saman fitnah yang difailkannya terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan.
Dalam menyampaikan penghakiman sebulat suara, Hakim Azimah Omar berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila menolak saman Yeoh pada 2024.
Mahkamah Rayuan memerintahkan Musa membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Yeoh.
Turut menganggotai panel yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Choo Kah Sing dan Hakim Shahnaz Sulaiman.
Azimah berkata kenyataan Musa, dibuat di forum Universiti Teknologi Mara enam tahun lalu, bersifat fitnah terhadap Yeoh dan menyebabkan beliau dicemuh dalam kalangan komuniti Islam.
Yeoh memfailkan saman itu pada 2020 selepas Musa mendakwa beliau berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara Kristian’.
Musa menyatakan bahawa satu kumpulan yang tidak dinamakan dan dikaitkan dengan DAP cuba memusnahkan Islam di negara ini, dan mendakwa Yeoh telah menulis sebuah buku untuk ‘menjadikan negara ini negara Kristian’.
Azimah berkata pesuruhjaya kehakiman ‘cuba mengurangkan kesan fitnah’ dengan menyebut bahawa Yeoh memenangi kerusi Parlimen Segambut pada 2022.
“Fakta bahawa Yeoh berjaya menghadapi kenyataan fitnah ini tidak membebaskan defendan daripada tanggungjawab,” katanya.
Azimah berkata juga Musa mengaitkan ‘kumpulan’ itu dengan Yeoh seolah-olah beliau mempunyai kaitan politik dan agama tertentu.
Mahkamah turut mendapati bahawa mahkamah rendah terkhilaf membuat kesimpulan bahawa ‘jumlah tontonan yang rendah’ terhadap kenyataan Musa, yang disiarkan secara langsung di Facebook, tidak dianggap fitnah.
“Ia masih merupakan satu penerbitan, walaupun hanya didengar oleh seorang. Kami gagal memahami bagaimana pesuruhjaya kehakiman menjustifikasi skala liputan untuk menolak tuntutan Yeoh.
“Ini boleh mewujudkan duluan yang bahaya,” kata Azimah, sambil menambah forum tersebut dihadiri oleh pelajar dan kakitangan universiti.
‘Bukti’ pensyarah UUM hanya khabar angin
Azimah berkata walaupun Musa memanggil Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff, sebagai saksi, beliau bukan saksi pakar dan hanya memberikan pendapat sebagai bukti.
“Pesuruhjaya kehakiman bercanggah dengan dirinya sendiri dengan memegang kedua-dua kenyataan bahawa Kamarul adalah saksi fakta dan bahawa Musa boleh bergantung pada pendapat beliau dalam pembelaan,” katanya, sambil menambah Kamarul juga kalah dalam kes fitnah lain terhadap Yeoh tahun lalu.
Mahkamah berkata Mahkamah Tinggi tidak menangani dengan sewajarnya pembelaan Musa mengenai justifikasi, keistimewaan dan komen wajar.
“Tiada bukti dikemukakan oleh defendan untuk menunjukkan ‘Krisianisasi’ seperti yang didakwa. Pembelaan juga bergantung pada saksi yang kenyataannya adalah khabar angin,” katanya.
Beliau menegaskan tiada bukti Yeoh menggunakan bukunya, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’, untuk menyebarkan agamanya atau memusnahkan Islam.
Yeoh dalam kenyataan meluahkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan itu, dan berkata selama enam tahun beliau menanggung kesan fitnah tersebut.
Peguam Ambiga Sreeneevasan, Sangeet Kaur Deo dan Lim Wei Jiet mewakili Yeoh, manakala peguam Nur Jehan Abu Bakar mewakili Musa.- FMT