02/09/2026
Hantar esei anda!
APA YANG KAMI KATAKAN BILA KAMI KATAKAN TENTANG LUKISAN
Kurator: Azrin Fauzi
Kami mengalu-alukan esei baharu (belum pernah diterbitkan) tentang sebuah karya catan atau lukisan oleh pelukis Malaysia.
Catatan: Dalam konteks antologi ini, istilah "lukisan" pada judul buku digunakan dalam pengertian umum. Esei boleh memperkatakan satu karya catan (painting) atau satu karya lukisan (drawing) oleh pelukis Malaysia. Setiap esei hendaklah berpusat pada satu karya sebagai fokus utama, meskipun karya-karya lain boleh disentuh sebagai perbandingan atau konteks.
Nota Kurator:
Melihat sebuah lukisan tidak pernah sekadar melihat.
Ada kalanya kita berdiri di hadapan sebuah catan selama beberapa minit tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku kepada kita. Ada kalanya p**a sebuah imej yang hanya dilihat sepintas lalu terus tinggal bertahun-tahun dalam ingatan. Sesekali kita kembali mencari lukisan yang sama kerana ingin memastikan bahawa apa yang pernah kita lihat dahulu benar-benar wujud, atau sebenarnya telah berubah bersama perubahan diri kita sendiri.
Antologi ini ingin mengumpulkan esei-esei yang menggabungkan pengalaman peribadi, renungan kritikal dan pembacaan terhadap karya. Kami lebih mengutamakan esei sebagai genre sastera berbanding tulisan akademik atau ulasan pameran.
Mungkin lukisan itu mengubah cara anda melihat dunia. Mungkin anda membencinya pada mulanya. Mungkin anda hanya memahaminya bertahun-tahun kemudian. Atau mungkin anda masih belum benar-benar memahaminya hingga hari ini. Hanya anda yang boleh menceritakan pengalaman itu.
Kerana akhirnya, setiap lukisan juga sedang melihat kita kembali.
Syarat penyertaan:
1. Esei hendaklah tidak melebihi 3,000 patah perkataan, termasuk petikan dan nota kaki jika ada.
2. Esei dalam bahasa Melayu. Terjemahan daripada bahasa lain dialu-alukan.
3. Honorarium: RM200.
4. Setiap penulis yang eseinya diterbitkan akan menerima sebuah naskhah percuma antologi ini.
5. Hak cipta kekal milik penulis. Penulis bebas menerbitkan semula esei tersebut di tempat lain selepas penerbitan antologi.
6. Tarikh akhir: E-mel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 31 Okt 2026.