14/10/2021
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-626: ISU PERJUDIAN BERKAITAN UNKNOWN CASH (UC) PUBG
Soalan
Assalamualaikum. Tujuan saya mesej SS M***i adalah untuk memberitahu tentang amalan streamer FB (livestream) di Malaysia yang beragama Islam yang gemar menikam item-item yang luar biasa dalam permainan video seperti Player Unknown's Battle Ground (PUBG), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan sebagainya. Cara mereka menikam item-item tersebut adalah dengan menggunakan Unknown Cash (UC) bagi permainan PUBG dan Diamond bagi permainan MLBB. Bagi mendapatkan UC dan Diamond tersebut, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar (RM). Apakah hukum melakukan transaksi sedemikian?
Diharapkan pihak SS M***i dapat meneliti terhadap isu ini yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Terima kasih banyak.
Jawapan Ringkas
Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Huraian jawapan boleh layari laman web kami di:
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5013-irsyad-al-fatwa-siri-ke-626-isu-perjudian-berkaitan-unknown-cash-uc-pubg