03/04/2024
Untuk anak-anak Gen Z, nama Jaafar Onn mungkin agak asing kepada mereka. Namun untuk anak-anak kelahiran 80-an dan 90-an, nama Jaafar Onn ini sangat besar. Malah anak-anak zaman itu membesar dengan nama itu.
Lakonan Jaafar Onn dalam drama siri Cili Padi masih disebut-sebut sampai sekarang. Ia antara drama televisyen yang meninggalkan jejak dalam pada memori anak-anak zaman itu.
Walaupun begitu, tidak ramai yang tahu Jaafar Onn adalah anak bongsu dari tiga beradik yang berasal dari Muar, Johor. Dia telah memulakan kerjaya seninya sebagai seorang penari di Kuala Lumpur pada tahun 70-an. Dia yang mempunyai gerak tari yang mempesona berjaya menyertai kumpulan penari yang terkenal di kaca televisyen pada waktu itu.
Jaafar Onn adalah manusia yang datang dengan seribu bakat. Bukan sahaja menari, dia juga punyai bakat dalam memasak dan mengandam. Dia mengambil upah mengajar kaum ibu PERKEP di Jalan Pekeliling memasak, dengan signature dish nya, Mi Bandung.
Pada tahun 1973, bakat memasak dan celotehnya yang memikat telah menarik RTM untuk memberikan peluang kepadanya menyertai rancangan masakan yang diberi nama ‘Dunia Wanita’ yang dihoskan oleh Datin Paduka Zaleha Ismail.
Sepanjang tahun 70-an Jaafar Onn telah dikenali sebagai seorang tukang masak yang berbakat dan pandai bercerita. Dia telah menyertai pelbagai kursus masakan bagi memantapkan kemahiran memasaknya.
Sehingga tahun 80-an, Jaafar Onn masih dikenali sebagai seorang tukang masak yang sering dijemput membuat demo masakan di kompleks membeli belah dan di merata tempat.
Siapa sangka, keterkenalan dia dalam bidang masakan telah membuka peluang baharu dalam dunia seni iaitu menyanyi dan berlakon. Datin Rosnani Jamil menjadi orang yang bertanggungjawab membawa Jaafar Onn ke dunia lakonan dengan telefilem pertamanya berjudul Legenda Lela Manja. Lakonannya, ‘meletup’, dan daripada situ dia terus ditawarkan untuk berlakon dalam banyak drama dan filem.
Puncak kerjaya Jaafar Onn apabila dia menubuhkan kumpulan tariannya sendiri, Maya Studio. Kumpulan tariannya itu bukan sahaja membuat persembahan di majlis makan malam dan rancangan televisyen sekitar tahun 80-an dan 90-an tetapi juga berjaya mencungkil bakat-bakat besar seni seperti Liza Abdullah, Norlida Ahmad, Erma Fatima, Ziela Jalil dan Radhi Khalid.
Memasuki tahun 2000, nama Jaafar Onn tenggelam timbul. Namun masih menghiasi industri seni negara dengan album dan drama-drama terbarunya.
Sehinggalah pada 3 April 2024, Seniman Jaafar Onn menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 11.20 pagi.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang).
Sebelum itu pihak MAPIM Malaysia bersama dengan FINAS sempat menziarahi arwah, bertanya khabar dan memberi sumbangan. Keadaan fizikal arwah ketika ziarah itu memang sudah jauh berbeza daripada yang dikenali di kaca televisyen.
Kenangan arwah dan jasanya yang menghiburkan jutaan rakyat Malaysia, semoga menjadi amal baiknya di dunia.