09/07/2026
Pendedahan kepada kandungan pornografi pada usia muda boleh memberi kesan serius terhadap perkembangan otak, emosi dan tingkah laku kanak-kanak serta remaja. Kebimbangan itu semakin memuncak apabila Malaysia merekodkan 16,951 kes kehamilan remaja luar nikah melibatkan individu berusia 19 tahun ke bawah bagi tempoh 2020 hingga 2024. Trend berkenaan dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk kekurangan pendidikan kesihatan reproduktif, pengaruh persekitaran dan pendedahan kepada kandungan seksual sejak usia muda.
Pengerusi Pertubuhan Malaysia Membanteras Pornografi (MAP), Dr Fatimah Ahmad Fauzi, menyifatkan pornografi sebagai "dadah alaf baharu" kerana kesannya terhadap otak menyerupai ketagihan dadah melalui rangsangan hormon dopamin. Beliau berkata pendedahan berulang boleh menyebabkan ketagihan, sekali gus menjejaskan pembelajaran, kawalan emosi, kesihatan mental dan hubungan sosial. Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa perlu menjadi benteng utama dengan memainkan peranan lebih proaktif dalam mendidik anak mengenai keselamatan diri, penggunaan internet secara berhemah serta pendidikan reproduktif, seksualiti dan sosial yang sesuai mengikut peringkat umur.
Sumber: Awani