12/09/2025
Kuala Lumpur: Negeri Sembilan mara ke suku akhir Piala FA biarpun tewas 0-1 kepada PDRM dalam aksi kedua 16 pasukan terbaik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
PDRM dipimpin penolong jurulatih, Eddy Gapil, bermula garang apabila hanya memerlukan tiga minit untuk membuka jaringan menerusi Fakhrul Azim Mohd Zulphatah yang pantas menyambar hantaran lintang daripada rakan sepasukan.
Tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi penyerang import, Dumbia Bernard Henri pada minit ke-37, namun rembatan derasnya tersasar tinggi melepasi palang.
Memasuki babak kedua, PDRM berpeluang mengukuhkan kedudukan pada minit- 57 selepas dihadiahkan penalti, namun sepakan Ahmad Nawaf Abdel Aziz Israiwah melepasi palang sekali gus melegakan pasukan pelawat
Tersentak dengan tekanan itu, pengendali Negeri Sembilan, Nidzam Jamil membuat tiga pertukaran serentak pada minit ke-70 dengan memasukkan Jovan Motika, A Selvan dan Khuzaimee Piee.
Kehadiran tiga pemain itu memberi impak positif terutamanya pada jentera serangan pelawat apabila melancarkan sekurang-kurangnya lima percubaan tepat ke arah gawang PDRM.
Selvan hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan kencangnya ditepis cemerlang penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun.
Nor Hakeem sekali lagi muncul wira apabila menafikan satu lagi percubaan bahaya Selvan ketika perlawanan berbaki lapan minit.
Keputusan 1-0 memihak kepada PDRM kekal hingga tamat perlawanan namun kemenangan itu tidak cukup menafikan peluang Negeri Sembilan untuk mara ke suku akhir menerusi agregat 5-1.