10/11/2024
Percayalah, andai kita selalu memikirkan tentang keburukan dan keaiban orang lain, lalu terbawa-bawa dalam perbualan dengan sesiapapun, kita sedang meletakkan diri kita di lembah kebinasaan.
Kita akan penat dengan emosi kita sendiri.
Bahkan kita sangat takut keaiban sendiri dilondehkan. Kita akan sensetif dan tidak boleh rasional dalam banyak perkara.
Renunglah. Hidup kita tidak pernah tak seronok bercakap tentang manusia lain. Apatah lagi apabila mengetahui kekurangan.
Kekurangan sesiapa pun, tak perlu diselongkar pun, ia akan mudah terbit. Lebih-lebih lagi melalui hati yang penuh mazmumah. Apatah lagi apabila aib dan kekurangan itu dicari dan digali.
Hati yang ada mazmumah sangat sukakan keburukan, biarpun keburukan itu sebuah keraguan yang belum pasti kesahihannya.
Mudah sahaja lidah berbicara. Tenang sahaja telinga menadahnya.
Lebih payah menjaganya apabila ada lawan bicara yang sependapat dengan kita. Lebih-lebih lagi kisah dan cerita. Korek lagi sini dan sana. Penambah perisa secukup rasa.
Jadi, bagaimana?
Kita harus ada rasa malu pada diri sendiri. Harus belajar berhenti. Harus berhenti pada sebuah kebinasaan diri sendiri.
"Apa yang aku buat ni, ya Allah?"
"Sahih ke cerita aku cakap ni? Entah-entah yang sampai kepadaku ada tambahan dan tiada siasatan."
"Sedapnya mulut aku ya Allah. Laju sahaja bercerita tentang dia."
Kita semua akan berkumpul di Padang Mahsyar. Rasanya, andai akhlak buruk ini masih kita teruskan, adakah mudah urusan kita di sana?
Bayangkan betapa banyaknya soal jawab Allah kepada kita nanti tentang apa yang kita perkatakan.
Bayangkan seandainya fitnah yang kita taburkan pada banyak orang.
Bayangkan umpat yang kita canaikan saban hari tanpa henti. Melalui whatsapp, media sosial, rakan taulan, jiran terdekat dan ramai lagi. Adakah berlalu tanpa tercatat di buku amalan?
Sahabatku,
Hentikanlah. Mulakanlah hijrah. Kita sudah lama meniti sebuah kehidupan. Perjuangan hidup bukan untuk mengata dan mengadu domba. Perjuangan hidup ini adalah untuk Akhirat.
Kehidupan panjang di Akhirat sana tanpa akhirnya. Alangkah nikmatnya andai persiapan di dunia kita rapikan dengan sebaiknya.
Perbanyakkan amal kebaikan. Tutup kelemahan dengan berhenti melakukan maksiat. Mulakan satu persatu.
Mujahadah membendung umpat dan adu domba adalah perjuangan besar buat hati. Percayalah.
Orang yang sedang menjaga lidahnya, dia sedang menjaga imannya. Siapa yang menjaga imannya, dia sedang memperelok amalnya.
Amal yang elok dan indah akan menarik rahmat Allah. Bahagia di dunia, bahagia jua di Syurga nan abadi. Insya-Allah.
Salam Sya'ban yang semakin laju berlalu..