03/03/2025
Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, kini secara rasmi menjadi atlet Alpinestars, jenama perlindungan dan pakaian perlumbaan terkenal dunia. Pengumuman ini mengukuhkan lagi status Qabil sebagai salah satu prospek cerah dalam arena perlumbaan motosikal antarabangsa.
Pada bulan lalu, ketika sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Qabil bersama Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, telah bertemu dengan William Mitham, Pegawai Hubungan Atlet Alpinestars Italy, bagi membincangkan hala tuju serta program pembangunan masa depannya.
Qabil berjaya menarik perhatian Alpinestars selepas mencatat pencapaian luar biasa dalam sukan permotoran. Pada tahun 2023, Qabil menjadi Juara Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol. Juga podium dan kemenangan dalam ESBK kategori Moto4, lima tahun berturut-turut sebagai Juara Keseluruhan dalam FIM MiniGP Malaysia.
Baru-baru ini jug, Qabil dianugerahkan gelaran ‘Young Rider of the Year’ dalam Majlis Anugerah MAM yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia, mengiktiraf pencapaiannya yang luar biasa dalam sukan permotoran.
Dengan pencapaian gemilang ini, Alpinestars bersetuju untuk menaja Qabil bagi musim 2025, membolehkannya bertanding di peringkat lebih tinggi dengan sokongan penuh dari jenama ternama itu.
Untuk musim 2025, Qabil Irfan akan bersaing dalam Espana Superbike Championship (ESBK) dalam kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini, iaitu ESBK Talent Cup, menggunakan jentera NSF250. Penyertaan ini menjadi satu lagi langkah besar dalam kariernya, membawanya lebih dekat ke pentas MotoGP.
Dengan sokongan Alpinestars serta bimbingan daripada pasukan SIC Racing, Qabil kini berada dalam laluan yang kukuh untuk meneruskan kecemerlangannya di peringkat antarabangsa.
Gambar: ZK Racing