25/05/2026
Korban Bukan Sekadar Menyembelih Binatang, Tetapi Menyembelih Sifat Kebinatangan Dalam Diri
Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, ramai melihat ibadah korban hanya sebagai ritual menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing atau unta. Namun hakikat sebenar korban jauh lebih mendalam daripada sekadar darah yang mengalir atau daging yang diagihkan kepada masyarakat.
Hakikat korban sebenarnya adalah simbolik kepada perjuangan manusia menyembelih sifat kebinatangan yang wujud dalam diri sendiri. Binatang korban hanyalah perantaraan, sedangkan “korban” yang paling besar ialah kemampuan manusia menundukkan hawa nafsu, ego dan sifat kebinatangan yang merosakkan akhlak.
Dalam Islam, ibadah korban bukan sekadar soal fizikal. Ia membawa mesej spiritual yang sangat besar. Korban mengajar manusia tentang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan diri demi mendekatkan diri kepada Allah.
Ramai sanggup mengeluarkan wang untuk melakukan korban, tetapi masih gagal mengorbankan sifat dengki, sifat tamak, sifat marah, sifat riak, sifat bongkak, dan sifat pentingkan diri sendiri. Ramai mampu membeli lembu, tetapi tidak semua mampu menyembelih sifat bodoh sombong dalam diri, itulah “binatang sebenar” yang perlu ditewaskan.
Manusia mempunyai akal, tetapi apabila gagal mengawal nafsu, manusia boleh menjadi lebih buruk daripada binatang. Sebab itu ibadah korban hadir sebagai peringatan setiap tahun supaya manusia kembali menilai diri.
Ada manusia yang bersifat seperti harimau ganas dan s**a menindas, seperti ular yang penuh tipu daya, anjing liar setia kepada siapa yang memberi walaupun yang akan mencuri di rumah tuannya, seperti babi yang rakus dan tamak, bersifat seperti musang yang licik dan bijak berpura-pura.
itulah rupa bentuk sifat binatang dalam diri manusia.
Semua sifat ini jika tidak dikawal akan merosakkan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Maka ibadah korban sebenarnya mendidik manusia supaya “menyembelih” sifat-sifat tersebut sebelum ia menguasai jiwa.
Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menjadi simbol ketaatan yang luar biasa. Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan perkara paling disayangi kerana patuh kepada perintah Allah.
Daripada kisah itu, umat Islam belajar bahawa pengorbanan bukan hanya tentang harta atau binatang ternakan, tetapi tentang melawan kehendak diri sendiri demi sesuatu yang lebih baik.
Korban terbesar dalam hidup ialah mengorbankan ego demi perdamaian, mengorbankan kemarahan demi kasih sayang, mengorbankan kebencian demi persaudaraan dan mengorbankan sifat buruk demi menjadi manusia yang lebih baik.
Islam menegaskan bahawa yang sampai kepada Allah bukan darah atau daging korban semata-mata, tetapi keikhlasan dan ketakwaan manusia.
Seseorang boleh menyembelih banyak ekor lembu, tetapi jika hati masih dipenuhi kesombongan dan kebencian, maka roh pengorbanan itu belum benar-benar hidup dalam dirinya.
Sebab itu Aidiladha sepatutnya menjadi medan muhasabah untuk setiap insan, Apakah sifat buruk dalam diri yang sudah aku korbankan tahun ini, persoalan yang harus ditanya setiap kali mengerjakan ibadah korban.
Rahsia korban bukan sekadar menyembelih binatang ternakan. Binatang korban hanyalah simbol dan perantaraan. Korban yang sebenar ialah usaha manusia menyembelih sifat kebinatangan dalam dirinya sendiri.
Agar tiada lagi kedengaran cerita anak bunuh ibu bapa, atok merogol cucunya, pasangan membunuh kekasihnya, suami memukul isteri dan seterusnya yang kita tatap saban hari.
Apabila manusia berjaya mengorbankan sifat ego, dendam, tamak dan kezaliman, maka lahirlah insan yang lebih tenang, lebih beriman dan lebih berperikemanusiaan.
Itulah roh sebenar Aidiladha ia bukan sekadar korban pada jasad binatang, tetapi korban pada nafsu dan sifat buruk dalam diri manusia.
Selamat menyambut Aidil Adha, Semoga Allah SWT menerima korban kita.
Sekian