16/08/2025
Anak Iban Ramai Miliki PhD, Tetapi Pilih Rendah Diri
KUCHING, 16 Ogos – Ramai anak Iban sebenarnya telah berjaya menamatkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD), khususnya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Namun kejayaan ini jarang diketengahkan di media kerana sikap rendah diri atau low-key profile yang menjadi pegangan mereka.
Hantaran seorang pengguna Facebook dengan nama Mazzaellynn Brasenia baru-baru ini membuka mata masyarakat bahawa ramai pensyarah dan penyelidik Iban kini berkhidmat di pelbagai fakulti – daripada seni, sains teknologi, sains sosial hingga ke bidang perubatan.
Menurutnya, bukti mudah boleh ditemui apabila nama-nama akademik Iban disenaraikan dalam Google Scholar dengan pelbagai penulisan ilmiah yang memberi manfaat bukan sahaja di peringkat akademik, malah kepada masyarakat umum.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyelianya, Dr Jongkar anak Grinang dari Merurun, Julau, seorang pensyarah kanan serta saintis yang banyak membimbing anak bangsa.
“Saya sangat mempercayainya kerana beliau membantu membesarkan serta mengangkat ramai anak bangsa sendiri,” tulisnya.
Selain itu, beliau mendedahkan antara penyelidikan unik yang dijalankan oleh anak Iban di UNIMAS ialah kajian mengenai tuak oleh Prof Madya Dr Micky anak Vincent dari Kanowit. Ini membuktikan kepelbagaian bidang yang diceburi oleh tenaga akademik Iban di institusi pengajian tinggi.
Dalam perkongsiannya, Mazzaellynn mengingatkan bahawa walaupun masyarakat Iban terkenal dengan kebijaksanaan, ilmu tidak boleh dijadikan alasan untuk merendahkan pandangan orang lain. Katanya, pengalaman hidup masyarakat di kampung kadangkala lebih bernilai daripada apa yang tertulis di dalam buku.
“Semoga semakin ramai yang berjaya dalam pelajaran mahupun kehidupan. Namun seperti pepatah Melayu, ikut padi rasmi – semakin berisi, semakin tunduk. Begitu jugalah kita, jangan lupa hubungan sesama manusia walau siapa pun,” tulisnya lagi.
Mazzaellynn, yang kini menyambung pengajian PhD dalam bidang Pemuliharaan Biodiversiti di UNIMAS, turut berkongsi perjalanan pendidikannya dari SMK Datuk Patinggi Kedit Betong, MRSM Betong, hingga ke peringkat sarjana. Beliau berharap masyarakat mendoakan kejayaannya menamatkan pengajian PhD menjelang tahun 2028. — SF
Nota: Sarawak First mengucapkan selamat maju jaya dalam pengajian PhD adik Mazz.