01/10/2026
VIDEO KETUA PENGARAH AKPS: RAKAMAN CCTV, SIASATAN POLIS DIJALANKAN
, 1 Oktober 2026 – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia ( ) mengesahkan video yang memaparkan Ketua Pengarahnya, YDH CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain, dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 merupakan rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut AKPS, rakaman itu berlaku pada 28 September 2026 ketika Ketua Pengarah AKPS mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pengarah AKPS bersama pasukan operasi turut menjalankan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti “ulat” di kawasan KLIA.
AKPS menjelaskan operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai kegiatan peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang serta kontraban yang berlaku hampir setiap hari di KLIA.
Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA secara menyeluruh dan konsisten.
Susulan operasi itu, seorang warga asing telah dikenal pasti dan dibawa ke ruang bagasi untuk pemeriksaan lanjut.
AKPS turut menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA sahaja dan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.
Bagaimanapun, video tular berkenaan turut melibatkan dua individu lain yang bukan daripada pasukan operasi. Kedua-dua individu itu didakwa memasuki ruang bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai dan merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS dengan warga asing terbabit menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Menurut AKPS, tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang boleh menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.
Susulan kejadian itu, kedua-dua individu berkenaan telah membuat laporan polis, masing-masing sehari dan dua hari selepas kejadian, selepas klip video tersebut tular di media sosial.
AKPS turut memaklumkan Ketua Pengarahnya telah membuat satu laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Siasatan itu termasuk berkaitan keadaan rakaman diperoleh dan disebarkan serta dakwaan bahawa penyebaran rakaman tersebut mempunyai unsur berniat jahat dan cubaan menjejaskan imej serta reputasi Ketua Pengarah AKPS dan agensi berkenaan.
AKPS berkata pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.