22/12/2023
[[Sejarah Ringkas Sungai Siput]]
Lokasi Sungai Siput
Sungai Siput terletak di negeri Perak, Malaysia. Sungai Siput berhampiran dengan Kuala Kangsar, Salak Utara, Jalong, Kantan, Lintang dan Felda Lasah. Daerah Sungai Siput bersempadankan daerah Hulu Perak di Utaranya, Daerah Kinta di selatannya, Negeri Kelantan Darul Naim disebelah timurnya dan daerah Kuala Kangsar di sebelah baratnya. Daerah kecil Sungai Siput merupakan sebahagian daripada Daerah Kuala Kangsar. Keluasannya yang merangkumi 155,141 hektar adalah merupakan 61.5% daripada keseluruhan Daerah Kuala Kangsar.
Nama Sungai Siput
Nama Sungai Siput adalah daripada sebatang anak sungai yang terletak berhampiran dengan Masjid India. Pada masa dahulu sungai ini banyak dipenuhi siput tetapi sekarang sungai berkenaan telah hampir tertutup disebabkan kesan pembangunan. Sebab itu peneroka-peneroka dahulu mengenali tempat ini dengan nama Sungai Siput.
Sejarah hitam Sungai Siput
Terdapat ladang-ladang getah yang diusahakan oleh orang-orang Inggeris pada awal tahun 30an. Bangunan utama IPD (K) Sungai Siput (U) dibina dalam tahun 1938. Darurat diistiharkan 53 tahun setelah 3 peladang British ditembak mati oleh pengganas komunis di sini pada tahun 1948. Ekoran dari kejadian itu darurat diisytiharkan di seluruh negara pada tahun 1948 dan tamat 1960. Sehingga lewat 1989, setelah komunis meletakkan perjuangan mereka Sungai Siput dan kawasan-kawasan sekitar seperti Jalong, Lintang dan Lasah adalah kawasan hitam dimana operasi-operasi pasukan keselamatan kerap diadakan.
Kini Sungai Siput telah melalui pembangunan ekonomi yang pesat dan pekan Sungai Siput tidak lagi menjadi sebuah pekan yang sunyi. Terdapat kilang-kilang, ladang-ladang dan pejabat-pejabat Kerajaan yang mula menjadikan pekan Sungai Siput sebagai pekan yang agak sibuk.