16/09/2026
Makruh Pegang Kemaluan Dengan Tangan Kanan Ketika Buang Air Kecil
Setiap hari kebiasaannya manusia akan qadha hajat iaitu buang air besar atau kecil. Setelah itu, sudah semestinya kita akan beristinjak iaitu membersihkan diri daripada najis.
Dalam beberapa hadis baginda juga telah mengajarkan kepada sahabat berkaitan adab dan tatacara untuk bersuci. Salah satunya berkaitan larangan daripada memegang alat sulit menggunakan tangan kanan ketika kencing. Imam al-Bukhari meletakkan bab dalam sahihnya:
بَاب لَا يمْسك ذَكره بِيَمِينِهِ إِذَا بَالَ
"Bab tidak memegang kemaluan menggunakan tangan kanan apabila buang air kecil"
Setelah itu al-Bukhari meletakkan hadith yang berkaitan.
Rasulullah bersabda:
إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَلَا يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ وَلَا يَتَنَفَّسْ فِي الْإِنَاءِ
"Apabila salah seorang dari kalian kencing, maka janganlah ia memegang zakarnya (kemaluannya) dengan (tangan) kanan, jangan beristinjak dengan (tangan) kanan dan jangan bernafas di dalam bekas minum" (Sahih al-Bukhari)
Imam Al-Nawawi (676H) menjelaskan bahawa larangan menggunakan tangan kanan sewaktu istinjak ini hukumnya adalah makruh tanzih dan berbentuk adab menurut majoriti ulamak. Ia bukan larangan yang bermaksud haram. Sebahagian ahli Zohir (al-Zohiriyyah) berpandangan larangan ini haram.
(Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, hlm 496, Jil 3)
Kita perlu elakkan memegang kemaluan menggunakan tangan kanan ketika qadha hajat iaitu kencing. Selain itu, kita juga perlu elakkan beristinjak menggunakan tangan kanan.
Namun sekiranya ada hajat dan keperluan untuk menggunakan tangan kanan, maka ia tidak dimakruhkan. Contohnya dalam keadaan tangan kiri sakit ataupun mempunyai keperluan mendesak yang lain.
Ini berdasarkan kaedah:
الكراهة تزول بالحاجةِ
"Hukum kemakruhan itu hilang (terangkat) apabila ada hajat"