16/10/2026
140 PATI WARGA INDONESIA DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL
TAWAU, 16 Oktober 2026 – Seramai 140 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia dipindahkan ke negara asal menerusi laluan laut dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Program pemindahan tahanan bagi tahun 2026 itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.
Daripada jumlah itu, seramai 96 orang ialah lelaki dewasa, 30 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, berusia antara satu hingga 70 tahun. Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Sebelum ini, pada 12 Oktober lalu, seramai 29 tahanan warganegara Filipina dipindahkan melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, terdiri daripada 23 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Pada tarikh sama, tujuh tahanan warganegara China, membabitkan empat lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa, turut dipindahkan ke Guangzhou, China melalui penerbangan dari lapangan terbang berkenaan.
JIM Sabah memaklumkan, sehingga kini, seramai 5,951 tahanan PATI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 1,769 orang ialah warganegara Indonesia, Filipina (4,003), Pakistan (132), China (139), Vietnam (25) dan lain-lain warganegara (23).
Kesemua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Sehubungan itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol dalam melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah, iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.