04/08/2025
Wanita Bukan Lembu: Politik Perlu Lebih Matang, Bukan Menghina
Dalam dunia moden yang penuh dengan kemajuan pendidikan, teknologi, dan hak asasi manusia, masih wujud segelintir pemimpin yang terperangkap dalam pemikiran sempit dan keji. Lebih malang apabila wanita yang memimpin disamakan dengan haiwan, seperti lembu satu perumpamaan yang bukan sahaja dangkal, malah memperlihatkan betapa rendahnya nilai intelektual dan moral sesetengah individu yang bercita-cita atau sudah berada dalam kedudukan kepimpinan.
Sikap mempersenda atau memperlekeh wanita dengan perumpamaan yang menghina bukanlah satu bentuk kritikan membina, sebaliknya mencerminkan kelemahan hujah dan ketandusan akhlak. Dalam sistem demokrasi yang sihat, perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan hujah, fakta, dan adab. Tetapi apabila perdebatan politik mula diwarnai dengan penghinaan dan jenaka murahan, maka ia bukan sahaja mencemarkan imej institusi politik, tetapi juga merosakkan tatasusila masyarakat yang dipimpin.
Wanita hari ini bukan lagi simbol kelemahan. Mereka telah memimpin negara, mengurus syarikat antarabangsa, mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan menjadi suara penting dalam pembentukan dasar-dasar nasional dan global. Di Malaysia sendiri, ramai wanita dalam politik, perkhidmatan awam, dan bidang profesional telah membuktikan kebolehan tanpa perlu meniru gaya kasar atau egoistik.
Apabila pemimpin lelaki menggunakan gelaran atau perumpamaan menghina kepada wanita, dan kemudian berlindung di sebalik serban, jubah, atau slogan agama, maka persoalan besar timbul, di mana akhlak yang sebenar? Apakah agama hanya digunakan sebagai hiasan politik semata-mata tanpa menghayati nilai sebenar yang diajar, seperti kasih sayang, hormat, dan keadilan?
Pemimpin yang matang tidak menjatuhkan martabat orang lain hanya kerana berbeza pandangan. Malangnya, ada yang lebih s**a berselindung di sebalik kata-kata kasar dengan alasan “gurauan” atau “teguran sinis”, walhal ia sebenarnya lahir dari sikap angkuh dan seksis. Sikap seperti ini bukan sahaja menghalang kemajuan wanita dalam politik, tetapi juga mencerminkan kebobrokan budaya politik kita.
Sudah tiba masanya rakyat menolak politik kebencian dan penghinaan. Kita perlu mendidik generasi akan datang bahawa kritik perlu dibina dengan fakta, bukan dengan cercaan. Wanita bukan lembu, dan orang yang diam bukan bermakna mereka bersetuju. Kadangkala diam itu kerana malas melayan kebodohan yang tidak berfaedah.