17/08/2026
Menjawab Isu Solat Berjemaah & Surau R&R: Jangan Salahkan Syariat Kerana Sikap Individu
Solat berjemaah ialah tuntutan syariat yang sangat dianjurkan, sama ada ketika bermukim mahupun bermusafir. Maka, mengatakan surau R&R tidak perlu diadakan solat berjemaah kerana ia "khusus untuk musafir" adalah satu kefahaman yang tersasar.
Beberapa perkara perlu diperjelaskan:
1. Surau R&R ialah kemudahan awam, bukan khusus untuk musafir.
Pekerja R&R, peniaga, adalah penduduk setempat yang tidak bermusafir. Pemandu lori dan orang awam yang berada di situ juga bukan semua bermusafir. Semua muslimin berhak menggunakan kemudahan tersebut untuk solat dengan selesa.
2. Masalahnya bukan pada solat berjemaah, tetapi sikap tidak bertolak ansur
Situasi yang kerap berlaku adalah solat yang dipanjangkan atau zikir dan doa selepas solat yang dipanjangkan. Solat bersendirian pun ada juga yang memanjangkan solat, zikir, dan doa, bukan terhad kepada imam yang solat berjemaah sahaja. Menyalahkan solat berjemaah adalah tuduhan yang tersasar dan tidak berasas.
2.1 Ringkaskan amalan sunat dalam solat
Dalam keadaan surau sesak, pendekkan bacaan dan amalan sunat yang boleh dipendekkan. Kena faham, melaksanakan amalan sunat dalam solat tidak dikira memanjangkan solat, maka masih dituntut untuk baca doa iftitah, baca ayat atau surah, doa qunut, dan segala zikir sunat dalam solat. Namun jika situasi sesak di surau, pilih doa iftitah yang ringkas, baca surah atau ayat yang ringkas, atau cepatkan bacaan surah sajadah dan al-insan di subuh Jumaat.
Zikir dan doa selepas solat tidak semestinya perlu dihabiskan di atas sejadah. Boleh diteruskan sambil berjalan atau di tempat lain. Korbankanlah sedikit fadhilat amalan sunat yang kita kejar, berikan ruang orang lain tunaikan kewajipan solat fardhu mereka.
2.2 Allah tetap kurniakan pahala amalan yang kita lakukan secara rutin tetapi terhalang dilakukan disebabkan keuzuran yang mendatang.
Jika di waktu biasa kita sentiasa baca wirid selepas solat dengan sempurna, doa yang panjang lebar, maka apabila berlaku keuzuran yang menghalang kita dari meneruskan rutin itu, ketahuilah Allah pasti kurniakan pahala itu kepada kita juga. Bahkan kita membantu saudara kita menunaikan kewajipannya juga akan diganjari Allah.
3. Keutamaan berjemaah tetap ada walaupun dalam keadaan sulit
Islam tidak mematikan syiar berjemaah ketika bermusafir. Bahkan dalam keadaan peperangan sekalipun disyariatkan Solat Khauf yang dilaksanakan secara berjemaah.
Maka, sekadar berada di R&R bukanlah alasan untuk menganggap solat berjemaah tidak diperlukan.
4. Fiqh kawasan solat. Jangan anggap solat hanya boleh dilakukan di dalam bilik surau.
Rasulullah SAW bersabda:
ยซุฌูุนูููุชู ูููู ุงููุฃูุฑูุถู ู
ูุณูุฌูุฏูุง ููุทููููุฑูุงยป
"Bumi ini dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan bersuci."
Jika surau R&R, surau mall, atau kawasan masjid penuh, carilah kawasan lain yang bersih dan tidak mengganggu laluan orang ramai. Kawasan lapang, sudut yang sesuai atau tempat lain yang selamat juga boleh dimanfaatkan selagi tidak diYAKINI kenajisannya.
Kesimp**annya, jangan salahkan syariat kerana sikap individu.
Solat berjemaah teruskan.
Bertolak ansur pun teruskan.
Jangan kerana ada orang yang terlalu lama berzikir dan berdoa sehingga menyusahkan orang lain, kita p**a membuat kesimp**an bahawa solat berjemaah di surau R&R tidak diperlukan.
Yang perlu diperbetulkan ialah cara kita mengamalkan agama, bukan ubah syariat agama.
Mudah-mudahan Allah beri kita kefahaman dalam beragama dan akhlak ketika beribadah.