11/08/2025
Kenapa Kita Susah Fokus Zaman Sekarang?
Kesan Dopamine Overload dari Skrin, Notifikasi dan Dunia Digital
Dunia Semakin Pantas, Minda Semakin Bertaburan
Pernah tak anda duduk nak baca buku, baru dua perenggan, tiba-tiba… fikiran dah merayau. Sekejap teringat bil api belum bayar, sekejap teringat nak makan atau masak apa malam ni. Entah macam mana, tangan pun meraba telefon, padahal tak ada pun mesej baru.
Sekarang ni, kita hidup macam duduk di tengah pasar malam yang bising, tapi versi digital. Semua orang menjerit sini! sini! tengok saya!. Media sosial, notifikasi, iklan, semua berebut nak curi perhatian kita.
Otak kita sebenarnya tengah dibanjiri dengan apa yang saintis panggil dopamine overload, macam banjir kilat, tapi dalam kepala.
Dopamine ni sepatutnya hormon yang bagi kita semangat nak capai benda bermakna, contohnya habiskan hafalan surah, siapkan projek, atau bantu orang. Tapi bila ia datang dari dopamine palsu, like, komen, video 15 saat, kita jadi puas sekejap, tapi perlahan-lahan hilang kemampuan untuk fokus lama-lama.
Bayangkan kita lapar, tapi asyik makan gula-gula. Memang sedap, tapi tak kenyang dan tak sihat. Begitu juga bila otak kita asyik makan rangsangan cepat dari telefon. Sedap sekejap, tapi tak bagi tenaga untuk fikir mendalam.
Allah dah ingatkan dalam Al-Qur’an Janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya… (Surah Al-Isra’, 17:36)
Ayat ni mengajar kita untuk berhenti dari sibuk mengejar semua perkara tanpa saringan, sebab otak kita akan hilang fokus bila terlalu banyak maklumat tak penting.
Rasulullah saw juga bersabda Antara tanda baiknya Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya. (HR Tirmizi)
Hadis ni selari dengan isu dopamine overload, bila kita tinggalkan notifikasi dan gangguan yang tak bermanfaat, barulah hati dan fikiran jadi tenang.
1. Dunia Digital dan Dopamine Overload
Apa itu Dopamine?
Dopamine adalah neurotransmitter yang bertindak sebagai pemberi motivasi. Ia mendorong kita untuk mencari ganjaran, cabaran, dan keseronokan.
Bayangkan ni…
Kita duduk di sofa, konon nak rehat sekejap. Ambil telefon, buka media sosial. Mula-mula tengok satu video lucu, kemudian satu lagi, kemudian lagi… tahu-tahu setengah jam dah berlalu. Masa tu, kita rasa seronok, terhibur, tapi bila letak telefon, rasa kosong.
Inilah kerja dopamine.
Dopamine ni ibarat loceng kecil dalam otak yang berbunyi setiap kali kita dapat sesuatu yang menyeronokkan. Dulu, loceng ni berbunyi bila kita dapat hasil tanaman, menangkap ikan, atau dapat pujian lepas buat kerja baik. Sekarang? Ia berbunyi setiap kali ada like, komen, atau video TikTok 15 saat.
Masalahnya, otak manusia tidak direka untuk terima loceng yang berbunyi tanpa henti. Dulu, ganjaran datang perlahan, hari ke hari, minggu ke minggu. Sekarang, ganjaran datang dalam bentuk sepantas kilat iaitu satu swipe, satu notifikasi, satu ping.
Apa yang berlaku bila loceng ni berbunyi terlalu kerap?
1. Otak jadi kebal pada keseronokan biasa
Bila terbiasa dengan hiburan laju, perkara perlahan jadi membosankan. Baca buku? Mengantuk. Berbual panjang? Rasa lambat. Fokus lama-lama pada kerja? Rasa susah.
2. Kita ketagih quick hits dopamine
Macam orang yang dah biasa makan makanan manis melampau, bila makan buah asli, lidah rasa tawar. Begitu juga otak kita, bila biasa dengan hiburan cepat, ia akan rasa bosan dengan perkara yang perlahan tapi penting.
Otak kita ni macam enjin kereta. Kalau hari-hari tekan minyak sampai redline, enjin akan cepat haus. Begitu juga, bila kita asyik bagi otak pecutan hiburan pantas, ia akan hilang stamina untuk perjalanan jauh.
Allah ingatkan dalam Surah Al-‘Asr bahawa manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.
Salah satu maksudnya, hidup ini memerlukan kesabaran, bukan sekadar mencari keseronokan cepat.