![[Analisis] Mengapa BRN Terbit Video “Negara Patani Darussalam” Ketika Krisis Politik Dalam Kerajaan Thai?Tindakan Barisa...](https://img5.medioq.com/272/253/1260721192722530.jpg)
23/06/2025
[Analisis] Mengapa BRN Terbit Video “Negara Patani Darussalam” Ketika Krisis Politik Dalam Kerajaan Thai?
Tindakan Barisan Revolusi Nasional (BRN) menerbitkan klip video terbaru yang mengangkat pada 20 Jun 2025 naratif “Negara Patani Darussalam” bukan sekadar simbolik propaganda, malah merupakan isyarat strategi yang disusun rapi ketika kerajaan Thailand sedang berdepan ketidaktentuan politik dalaman.
“Saat pusat kuasa goyah, ruang gerak terbuka luas”
Ketika ini, politik Thailand berada di persimpangan genting apabila krisis kepercayaan tercetus dalam kalangan parti gabungan pemerintah susulan kebocoran rakaman suara Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra yang didakwa menghubungi bekas PM Kemboja, Hun Sen. Isu itu mendorong parti Bhumjaithai menarik diri dari kerajaan dan mencetus tekanan daripada parti Palang Pracharath agar Paetongtarn meletak jawatan atau membubarkan parlimen.
BRN memahami bahawa ketidaksepakatan ini mencerminkan kelemahan institusi pusat. Oleh itu, tindakan menerbitkan klip menyeru autonomi semasa kerajaan masih cuba menstabilkan diri dilihat sebagai usaha memanfaatkan ruang kekosongan politik, sekaligus menjadikan mesej BRN lebih mudah didengar — baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Berbeza dengan pendekatan kekerasan, BRN kali ini mengetengahkan dokumen rasmi — khususnya “Prinsip Am” yang dipersetujui dengan kerajaan Thailand pada tahun 2022, yang antara lain menegaskan keperluan rundingan awam dalam menyelesaikan konflik.
Tindakan ini merupakan strategi “perang legitimasi”, dengan matlamat:
Mengurangkan kredibiliti kerajaan Thai di mata komuniti antarabangsa dan Meningkatkan keabsahan tuntutan autonomi berdasarkan prinsip undang-undang dan keadilan sejagat.
“Garis besar Patani Darussalam: Visi atau realiti?”
Tidak seperti masa lalu yang hanya bersifat idealisme, kali ini BRN tampil dengan kerangka konkrit seperti:
Penubuhan Majlis Syura (badan legislatif),
Pentadbiran sendiri (badan eksekutif),
Sistem kehakiman berdasarkan undang-undang Islam (badan kehakiman).
Rangka ini seolah-olah menunjukkan kerangka awal kepada sebuah “perlembagaan mini” yang mencerminkan perubahan imej BRN — dari gerakan bersenjata kepada satu entiti politik dengan visi tersusun.
BRN tukar imej: Dari pejuang bersenjata kepada penggerak masyarakat
BRN turut menggunakan bahasa yang mudah dan berkesan seperti: “Daripada kami, untuk kami, oleh kami” dan “Tanah kelahiran kami adalah hak kami”. Ia menggambarkan usaha membina imej baharu sebagai pembela hak komuniti Patani, bukan sekadar gerakan pemisah.
Komunikasi kali ini tidak mengandungi sebarang elemen ugutan bersenjata, tetapi lebih kepada pendekatan soft power yang memanfaatkan krisis keabsahan politik dan moral dalam kerajaan Thai.
Persoalannya kini Apakah kerajaan Thailand, dalam keadaan tertekan dari pelbagai penjuru, masih punya kapasiti politik dan moral untuk mengurus cabaran BRN yang semakin rasional dan tersusun?
Jika kerajaan terus memandang tuntutan ini hanya sebagai ancaman keselamatan tradisional, ia mungkin terlepas peluang untuk menunjukkan kepimpinan baharu yang lebih terbuka, inklusif dan sedia mendengar suara rakyat Patani.
Langkah BRN bukan bersifat bertahan, tetapi menyerang secara strategik
Penerbitan klip pada waktu kerajaan goyah ini adalah mesej jelas bahawa BRN bukan lagi menunggu, tetapi sedang mara dengan strategi maklumat dan percaturan politik yang semakin matang.
Sekiranya kerajaan Thailand terus berkeras menolak dialog yang sebenar, mereka mungkin menyaksikan rakyat Patani semakin condong kepada pihak yang — walaupun tidak sempurna — dilihat “berdiri bersama mereka”.
Dengarkan video sebelumnya : https://www.facebook.com/TheInformationNews/videos/612639581279520/
Sumber : Wartani Melayu, 21 Jun 2025.
Photo : Istimewa.