07/01/2026
Minda Presiden PAS
MELAYU ISLAM LAYAK MEMIMPIN MASYARAKAT MAJMUK
Bangsa Melayu Islam wajib diberikan hak untuk memimpin negara ini yang merupakan sebahagian daripada realiti politik, bukan sekadar modal politik sebagaimana hujah oleh mereka yang jahil politik dan kalangan yang menafikannya. Ilmu politik Islam secara khusus meletakkan peranan bangsa dalam politik mengikut syariat yang menepati fitrah manusia (sifat tabii).
Hal ini sebagaimana para anbiya’ memulakan dakwah kepada kaum masing-masing bagi mendapat dukungan yang kuat daripada mereka. Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4–5]
Menafikan peranan bangsa dalam politik juga menunjukkan taraf ilmu politik yang lebih rendah daripada politik binatang yang bermasyarakat seperti semut dan lebah yang kecil serta lemah, termasuk kawanan kera yang liar dan singa yang ganas.
Kalau Melayu dituduh bersifat perkauman, maka tuduhan itu menafikan kefahaman bahawa bangsa Melayu setelah menganut Islam, merekalah yang paling tidak fanatik perkauman, begitu juga kaum bumiputera yang tidak memeluk Islam. Hal ini merupakan kesan daripada ajaran Islam yang adil kepada semua kaum sejak zaman kerajaan Melayu Islam yang bersejarah serta masih tersemat dalam hati orang Melayu dan kaum bumiputera bukan Islam, sehingga mereka boleh menerima kaum lain yang dibawa masuk oleh penjajah selepas kerajaan Islam yang berdaulat dijatuhkan.
Dapat disaksikan sehingga kini, keluarga kecil masyarakat bukan Islam boleh hidup aman di tengah-tengah masyarakat Melayu yang besar jumlahnya. Mereka dibenarkan untuk beramal dengan agama, mengadakan perayaan agama, dan membuka sekolah bahasa masing-masing, dalam keadaan syariat Islam berdaulat dan bahasa Melayu-Jawi menjadi bahasa rasmi.
Tuduhan Melayu sebagai perkauman oleh pelbagai pihak hanyalah bertujuan menyebarkan naratif yang salah hasil warisan penjajah yang boleh merosakkan keadaan aman dan harmoni yang wujud sejak awal kaum Melayu beragama Islam. Fitnah yang gagal pada zaman penjajah itu, tiba-tiba dicetuskan kembali oleh kalangan yang tidak mengenang budi Melayu terhadap kaum mereka yang pernah diperhambakan dan dihina oleh penjajah sebelum diselamatkan oleh orang Melayu.
Malangnya, ada p**a dalam kalangan orang Melayu yang bebal akan agama dan sejarah bangsa mereka sendiri, di samping terikut-ikut dengan fahaman yang salah dan sesat itu.
Malangnya juga ialah kelemahan orang Melayu yang terlanjur bertolak ansur kerana kejahilan mereka berkenaan kesempurnaan Islam, sehingga mereka leka akan kedudukan mereka yang terancam dari segi politik dan ekonomi.
Keadaan tersebut menyebabkan orang Melayu boleh dicatur oleh penjajah yang sebelum ini gagal pada zaman penjajah berada di sini, namun selepas diberikan kemerdekaan mereka merancang p**a bagi merampas peranan politik dan ekonomi orang Melayu di dalam tanah air sendiri melalui penyusunan masyarakat majmuk hasil rancangan penjajah, supaya dapat diadudombakan yang menjadi bom jangka yang merosakkan.
Anehnya, ketika semua bangsa lain di dunia memperjuangkan hak politik mereka — kecuali bangsa yang berada di luar tabii manusia dan terpengaruh dengan teori demokrasi liberal yang tiada sempadan fitrah dan agama —, tiba-tiba Melayu dilarang bercakap berkenaan kaumnya p**a.
Sesungguhnya, Rasulullah SAW ialah teladan daripada Allah SWT yang wajib diikuti. Kejayaannya menyatukan bangsa Arab serta membina kekuatan bangsa Arab yang sebelumnya paling fanatik akan kaum dan keluarga sehingga berpecah dan berperang, namun kemudiannya membawa Islam kepada seluruh manusia di seluruh penjuru dunia dengan kuat berpegang pada agama dan cinta akan bangsa tanpa fanatik perkauman.
Sehinggakan, kepimpinan Islam saling bertukar ganti kepada beberapa bangsa yang menganut Islam yang mendominasi penduduk, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ.
“Para pemimpin itu daripada kalangan Quraisy.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, no. 5909 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 12307, daripada Anas bin Malik]
Hadis ini berkonsepkan keadaan semasa apabila kabilah Quraisy mendominasi kabilah yang lain pada masa itu. Hadis tersebut berkait dengan sebab dan situasi yang berubah mengikut ilmu usul fiqh, siasah syar‘iyyah, dan maqasid syariah. Inilah hukum dalam mazhab Sunni dan Syiah, berbeza dengan mazhab Khawarij yang salah yang menafikan peranan bangsa dalam bab imamah (kepimpinan) atau imarah (pemerintahan).
(Rujuk kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Imam al-Mawardi, al-Ghiyathi oleh Imam al-Haramain al-Juwayni, Itmam al-Wafa oleh Muhammad al-Khudari, dan lain-lain untuk huraian yang lebih lanjut).
Maka, kepimpinan negara berubah-ubah mengikut kaum yang menganut Islam dan mendominasi satu-satu masyarakat, kerana firman Allah SWT kepada bangsa Arab pada awal Islam:
هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang kikir. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Ramai Melayu Islam jahil akan hukum Islam dalam aspek fiqh politik yang mewajibkan Melayu Islam memimpin, dengan berkuasa mentadbir dan memerintah tanah air mereka bersama Islam yang berdaulat serta berlaku adil kepada semua.
Bahkan ada Melayu yang teguh keislaman mereka dalam perkara ibadat dan peribadi sahaja walaupun jahil, sehingga menjadikan mazhab Islam dalam hal furu‘ (cabang agama) sebagai satu ‘agama’ p**a.
Apabila mereka menerima Islam mazhab Khalaf Asha‘irah-Maturidiyyah dalam aqidah, mazhab Shafi‘i dalam fiqh, dan mazhab Imam al-Junaid dalam tasawuf, semua ini dijadikan ‘agama baharu’ dalam agama seolah-olah mazhab lain adalah bukan Islam. Maka, mazhab itu dijadikan seperti ‘agama’ p**a tanpa menyedari bahawa pecahan mazhab itu adalah dalam perkara furu‘ yang berbeza apabila berlaku di tempat dan pada keadaan yang berbeza.
Hakikatnya, perbezaan mazhab berlaku sejak zaman para sahabat dan tabiin tidak menjadi sebab perpecahan umat Islam. Walau pelbagai bangsa dan wilayah yang berlainan, umat Islam tetap dalam satu agama yang sama dari sudut rukun dan dasarnya. Bahkan, para ulama’ yang saling berbeza mazhab berguru dan belajar sesama mereka, kerana para ulama’ pada zaman itu bertafaqquh (mendalami dengan kefahaman) dalam perkara al-din yang diwajibkan oleh firman Allah SWT:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Tidak sepatutnya bagi Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]
Walau bagaimanapun, betapa eratnya bangsa Melayu yang beragama Islam menganggap semua kaum yang memeluk Islam menjadi bangsa mereka, sehingga perkataan ‘Islam’ dan ‘Melayu’ disatukan maknanya. Sesiapa sahaja daripada kaum lain apabila memeluk Islam, maka dikatakan ‘masuk Melayu’. Kalau ada orang Melayu yang murtad, maka dianggap sebagai bukan Melayu lagi.
Semua penjajah yang datang menakluk Tanah Melayu selepas kelemahan kerajaannya, bermula daripada penjajah Portugis dan Belanda sehinggalah British gagal memurtadkan bangsa Melayu. Hanya segelintir yang sangat kecil sahaja yang tidak cukup dikira peratusannya. Sebaliknya, perkembangan Islam terus berlaku di Nusantara pada zaman penjajahan mengatasi gerakan pengembangan diayah Kristian yang diterima oleh masyarakat bukan Melayu. Gerakan Kristianisasi gagal sama ada melalui kekerasan ataupun pujukan, kerana penjajah dianggap sebagai makhluk asing yang merosakkan.
Walaupun orang Melayu menghadapi tekanan hidup, kemiskinan, dan kejahilan agama serta walaupun akhlak mereka berjaya dirosakkan, orang Melayu tetap berpegang dengan keislaman mereka. Walaupun mereka tidak beribadat, mereka tetap bangkit dengan marah kalau Islam dihina atau dikatakan mereka bukan Islam, menandakan masih ada kemanisan iman dalam diri mereka. Sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.
“Sesiapa yang ada dalam dirinya tiga perkara, nescaya masih ada kemanisan iman; paling kasih akan Allah dan Rasul melebihi yang lain, kasih akan saudara seagama kerana Allah dan benci menjadi kafir sebagaimana dia benci terjerumus ke dalam Neraka.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 16 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 43, daripada Anas bin Malik. Lafaz bagi al-Bukhari]
Apabila nama Allah SWT atau Nabi Muhammad SAW dihina, orang Melayu akan marah. Mereka juga kasih akan saudara seagama sebagaimana yang disaksikan apabila berlaku peristiwa kezaliman terhadap saudara seagama di Gaza. Demikian juga, orang Melayu terlalu marah kalau dikatakan mereka sudah menjadi kafir, walau mereka jahil dan tidak beramal dengan ajaran Islam.
Melayu Islam wajib dibebaskan daripada kejahilan agama dan disatupadukan bersama persaudaraan Islam setelah mereka dipecahbelahkan oleh penjajah dengan sebab kejahilan agama sendiri, sehingga Melayu Islam berpecah belah dan berkelahi dalam perkara yang kecil akibat tidak menyedari kesempurnaan Islam.
Rasulullah SAW berjuang membebaskan bangsanya daripada kefahaman jahiliah yang lebih diutamakan daripada menentang penjajahan asing ketika sebahagian daripada Semenanjung Arab dijajah oleh Empayar Parsi dan Rom. Walaupun dalam keadaan penjajah asing ditentang juga, membebaskan diri daripada kejahilan didahulukan supaya bangsanya dapat disatukan.
Langkah Rasulullah SAW menyatukan bangsa Arab dapat disaksikan sehingga Baginda mengampunkan kesalahan besar akibat permusuhan pada zaman jahiliah ketika peristiwa Fathu Makkah. Ia berlaku setelah berjaya menegakkan negara Madinah dengan mengumpulkan berbagai-bagai suku kaum Arab dan bukan Arab yang memeluk Islam berserta kaum bukan Islam yang tidak ekstrem dan sedia bernaung bawah kerajaan Islam yang berlaku adil kepada semua.
Maka, kita wajib membebaskan bangsa kita daripada kejahilan agama yang mewajibkan kita bersatu menjadi bangsa yang kuat. Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW yang bertindak menyatukan kabilah Arab dan semua kump**annya.
Oleh yang demikian, kita wajib mengambil teladan daripada Rasulullah SAW ini dengan menyatukan kump**an bangsa kita yang berpecah terutamanya, kerana perbezaan pendekatan politik bukannya perbezaan aqidah dan ideologi, khususnya antara perlembagaan PAS dengan perlembagaan UMNO.
Malangnya, perbezaan pendekatan dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan UMNO yang terlanjur menganggap PAS lebih bahaya daripada DAP yang nyata ekstremnya, lalu mendakap DAP dan meninggalkan PAS kerana faktor sampingan dan jawatan. Inilah satu pendekatan yang salah dari segi agama kita. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu! Mereka menyukai apa-apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa-apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118) Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118–120]
Benarnya kenyataan Allah apabila DAP dan kump**an ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan UMNO untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam.
Kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem p**a tidak perlu bimbang dan khuatir akan kedudukan mereka bersama Islam kerana panduan kitab suci al-Quran yang diimani lebih wajib ditunaikan daripada manifesto pilihan raya berdasarkan firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (p**a) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” [Surah al-Mumtahanah: 8]
Islam memberikan hak kebebasan beragama, politik, dan ekonomi kepada masyarakat bukan Islam yang berada dalam kerajaan Islam, sehingga pada zaman membesarnya masyarakat majmuk, menteri daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam urusan keduniaan dan kemanusiaan yang tiada kaitan secara langsung dalam urusan syariat Islam.
Demi perpaduan umat, maka Rasulullah SAW memaafkan kesalahan jenayah yang besar terhadap mereka yang terlibat melakukannya pada masa Islam belum berkuasa, berpandukan firman Allah SWT:
وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧
“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa-apa yang mereka tipu dayakan. (127)” [Surah al-Nahl: 126–127]
Kemaafan dan keampunan bukan sahaja diberikan kepada bangsa Arab yang memeluk Islam, bahkan kepada kaum bukan Islam yang berjanji setia bersama kerajaan Islam.
Oleh itu, keadaan ketegangan yang berlaku antara PAS, UMNO, BERSATU dan beberapa kump**an, termasuk kump**an bukan Islam pada masa ini adalah tidak sama dengan kezaliman yang berlaku terhadap Rasulullah SAW pada zamannya. Maka, fikirlah dengan bijak dan matang yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua. Akhirnya, moga kita mencapai janji Allah SWT:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rajab 1447 / 7 Januari 2026
[Bil: 2 / 2026]