10/07/2026
SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa tersentuh apabila mengetahui hasrat seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, Muhammad Afif Ikhwan, yang mahu bertemu dan melihatnya dari dekat ketika menghadiri program di Felda Palong Timur, baru-baru ini.
Anwar berkata, impian Afif berjaya direalisasikan hasil usaha neneknya, Rosimah Mohammad, yang sanggup meredah ladang kelapa sawit dengan menaiki motosikal demi memenuhi hasrat cucunya itu.
"Saya tersentuh tatkala menyaksikan impian seorang anak kecil iaitu adik Muhammad Afif Ikhwan yang berusia sembilan tahun yang mahu melihat saya dari dekat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurut beliau, ketika berada di lokasi program, Afif menghulurkan tangan di celah orang ramai sebelum beliau bersalaman dan membawanya naik ke pentas.
Anwar berkata, beliau tidak menyangka pertemuan yang singkat itu memberi makna besar kepada kanak-kanak berkenaan.
"Sesibuk mana pun kerja kita mengurus negara dan mendepani pelbagai tantangan besar, usah sesekali kita hilang ihsan untuk menyantuni dan mempamerkan kemanusiaan," katanya lagi.
Susulan itu, Anwar meminta supaya Afif diziarahi dan disantuni, selain menghadiahkan sebuah basikal sebagai tanda penghargaan.
"Mudah-mudahan pertemuan singkat kami menjadi secarik kenangan yang menyala semangat kepada Afif untuk terus belajar, berusaha dan kelak menumpahkan bakti kepada keluarga, masyarakat serta negara," ujarnya.